Kerajaan melalui Kementerian Kewangan hari ini telah mula melaksanakan inisiaitf eMADANI, dimana melaluinya para pengguna akan menerima kredit RM100 melalui dompet digital. Dibawah inisiatif ini, kerajaan menyasarkan sekitar 10 juta rakyat Malaysia akan menerima kredit RM100.
Berkongsi berkenaan permohonan program berkenaan sejak dimulakan pagi ini, Kementerian Kewangan menyatakan seramai lebih 7 juta permohonan eMADANI telah dilakukan setakat 5 petang hari ini.
Pengguna telah memohon melalui MAE, Setel, ShopeePay dan juga Touch n Go eWallet. Ia tidak dimaklumkan apakah dompet digital yang menjadi pilihan ramai pengguna tempatan untuk menebus kredit ini.
Dengan perkongsian angka ini, ia dilihat terdapat baki sekitar 3 juta pengguna yang boleh memohon kredit eMADANI ini.
Untuk makluman, program ini dibuka kepada mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan dibawah RM100,000 setahun. Anda boleh melakukan permohonan eMADANI ini sehingga 20 Februari 2024 kelak.