Tokamak terbesar di dunia kini sedia untuk beroperasi di Jepun. JT-60SA yang terletak di wilayah Ibaraki Jepun adalah hasil kerjasama antara Jepun, Kesatuan Eropah dan UK. Dengan berat mencecah 360 ton, ia adalah tokamak yang terbesar pernah dibina setakat ini.
Ia adalah projek berterusan oleh Jepun dalam membangunkan teknologi tokamak sejak 1970an bagi merealisasikan reaktor pelakuran nuklear yang boleh menghasilkan sumber tenaga bersih. Pembinaan iterasi terkini JT-60SA sebenarnya telah dilengkapkan pada tahun 2020. Tetapi insiden litar pintas pada tahun berikutnya menyebabkan ia hanya kembali diaktifkan pada Oktober lalu dan telah kembali beroperasi secara rasmi pada 1 Disember lalu.
Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, JT-60SA kelak akan melakukan pelbagai eksperimen bagi membolehkan operasi tokamak bertahan lebih lama supaya plasma di dalamnya yang lebih panas daripada permukaan matahari dapat dikekalkan. Ini adalah perlu untuk pelakuran nuklear dilakukan.
Hampir setahun lalu saintis daripada Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (Department of Energy – DoE) mengumumkan kejayaan menghasilkan pelakuran nuklear di dalam makmal. Ia hanya kekal selama beberapa minit sahaja. Selain Jepun dan A.S, Korea Selatan serta China juga sedang menjalankan projek tokamak masing-masing supaya dapat menjadi negara pertama menjana sumber tenaga paling lestari pernah dihasilkan dalam sejarah peradaban manusia.