Carian
iQOO 12 Kini Rasmi Di Malaysia – Snapdragon 8 Gen 3 Pertama, Berharga RM3399
December 6, 2023 Fahim Zahar

vivo Malaysia hari ini telah melancarkan telefon pintar pertama di Malaysia dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 iaitu iQOO 12. Bukan itu sahaja, iQOO 12 turut menjadi peranti pertama terus keluar daripada kotak menjalankan Android 14 melalui pelancar Funtouch OS 14. Peranti ini dilihat terus menjadi peranti mercu paling berkuasa tahun 2023.

Snapdragon 8 Gen 3, RAM LPDDR5X, UFS 4.0

iQOO 12 hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.78-inci beresolusi 2800 x 1260, 144Hz dan juga HDR10+. Peranti dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X serta 16GB memori maya dan storan dalaman 512GB UFS 4.0. Peranti ini turut dilengkapi dengan cip Supercomputing Chip Q1 untuk memproses imej pada skrin agar mempunyai prestasi terbaik ketika menstrim video atau bermain permua.

vivo Supercomputing Q1 – cip AI meningkatkan resolusi dan kualiti skrin

Untuk kamera, peranti ini dilengkapi dengan tiga sensor iaitu 50MP f/1.68, OIS sudut lebar + 64MP f/2.57, OIS zum optikal 3x telefoto periskop + 50MP f/2.0 dan kamera swafoto 16MP f/2.45. Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W FlashCharge, speaker stereo, Bluetooth 5.4, WiFi 7, 5G dan pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal.

Dua warna di Malaysia; Legend dan Alpha

iQOO 12 menggunakan rekaan sisi dan skrin yang rata. Bingkai aluminium dengan kemasan berkilat, bezel skrin yang hampir sekata serta panel belakang yang minimalis dengan hanya satu bonggol kamera berbentuk squircle. Peranti direkabentuk untuk mempunyai elemen premium agar pengguna nampak gah menggunakannya.

Di Malaysia, iQOO 12 dijual pada harga RM3,399 untuk warna Legend dan juga Alpha dengan satu varian sahaja iaitu 16/512 GB. Sempena pelancaran, iQOO 12 boleh dibeli pada harga RM3349 iaitu diskaun RM50 dengan hadiah bernilai RM777 termasuk iQOO TWS Air2 serta pakej jaminan 1 tahun perlindungan skrin dan 1 tahun jaminan tambahan.

Kemudian sempena jualan 12.12 yang berlangsung daripada 12-18 Disember, iQOO 12 juga ditawarkan pada harga RM3349, pakej jaminan tambahan dan juga baucar eksklusif bernilai 10%. iQOO Malaysia turut memaklumkan yang peranti-peranti mereka kini boleh dihantar ke pusat perkhidmatan pelanggan vivo untuk sanitasi, baiki dan bantuan tambahan.

Komen