Carian
Twitch Menghentikan Operasi Di Korea Kerana Kos Melampau
December 6, 2023 Effi Saharudin

Akibat kos operasi yang melampau, Twitch mengumumkan mereka menarik diri daripada pasaran Korea Selatan. Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Twitch memohon maaf kepada penstrim Korea Selatan yang menjana pendapatan menggunakan perkhidmatan mereka. Bermula 27 Februari 2024, pendapatan tidak lagi boleh dijana oleh penstrim Twitch di negara tersebut dan pembelian juga akan dihentikan.

Twitch Korea menggesa penstrim untuk berpindah ke platform penstriman alternatif seperti YouTube dan AfreecaTV. Pelbagai usaha telah dilakukan sebelum ini bagi mengurangkan kos seperti menghadkan kualiti penstriman ke hanya 720p. Namun begitu kos operasi menggunakan rangkaian internet di Korea adalah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding pasaran lain menyebabkan operasi syarikat tidak lagi dapat diteruskan.

Tidak seperti negara lain, Korea Selatan meminta bayaran daripada syarikat perkhidmatan untuk menanggung kos penyeliaan infrastruktur internet sekiranya menggunakan trafik yang tinggi. Pada tahun 2021, penyedia perkhidmatan internet SK Broadand menyaman Netflix kerana penggunaan internet meningkat disebabkan oleh Squid Game. Kes ini hanya diselesaikan di luar mahkamah pada September lalu dengan Netflix melakukan kerjasama dengan SK Broadband dengan berkongsi teknologi yang boleh digunakan untuk menguruskan trafik yang tinggi.

Komen