Pada tahun lepas, Acer telah melancarkan siri komputer riba Acer Aspire Vero mereka sebagai satu cara untuk menunjukkan kesediaan mereka untuk mengubah cara bagaimana mereka membangunkan sebuah produk komputer, tetapi juga bagaimana pengguna boleh mendapat manfaat daripadanya tanpa perlu mengorbankan prestasi.
Hari ini, di acara Acer GPC Dubai, Acer telah memperkenalkan komputer riba Acer Aspire Vero 16 generasi kedua mereka, dimana Acer mengatakan bahawa rangka komputer riba tersebut kini diperbuat daripada 60 peratus bahan plastik PCR (Post Consumer Recyclable) berbanding dengan 30 peratus pada model sebelum ini.

Sama seperti sebelum ini, Acer Aspire Vero 16 ini juga tidak menggunakan sebarang cat, pewarna dan sebagainya untuk mengurangkan bahan cemar bukan sahaja didalam produk mereka, tetapi di kilang pembuatan komputer riba mereka, yang merupakan sebahagian daripada konsep menyeluruh Conscious Technology untuk melestarikan keseluruhan perniagaan Acer. Sama seperti model sebelum ini, pad sesentuh Acer Aspire Vero ini menggunakan kaca yang diperbuat daripada plastik lautan.
Acer juga telah mengesahkan bahawa Acer Aspire Vero 16 akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Meteor Lake, dan akan hadir dengan penawaran cip Intel Core Ultra yang lebih berkuasa. Spesifikasi mengenai komponen ini dan yang lain seperti memori dan storan hanya akan diperlihatkan sewaktu acara CES 2024 kelak, tetapi nampaknya ini adalah pengesahan pertama mengenai Acer menggunakan cip Intel Meteor Lake didalam penawaran mereka.
Malah, bungkusan komputer riba ini diberikan penekanan oleh Acer, dimana mereka mengatakan bahawa kotak Acer Aspire Vero 16 ini akan menggunakan kadbod yang 100 peratus dikitar-semula dan juga dengan piawaian daripada Forest Stewardship Council yang memastikan bahan kertas yang digunakan adalah dari sumber yang mampan.

Sama seperti Acer Aspire Vero 16 yang dilancarkan pada tahun lepas, salah satu daripada kelebihan utama komputer riba ini ialah kebolehan pengguna untuk menggantikan dan menaiktarafkan komponen-komponen didalam komputer riba ini dengan sendiri, seperti memori, storan dan juga bateri apabila ia perlu digantikan.
Jason Chen, CEO dan pengerusi Acer mengatakan bahawa Acer Aspire Vero 16 ini adalah komputer riba, malah produk pertama mereka yang mereka katakan ialah karbon neutral yang pertama mereka. Ini bermakna bahawa dari binaan komputer riba, pemasangan komponen dan juga proses bungkusan dan penghantaran yang tidak memperlihatkan sebarang jejak karbon apabila ia dijual kepada pengguna.
Butiran lanjut mengenai komputer riba ini akan diketahui kelak di acara CES 2024 di Las Vegas tahun hadapan.