Cari @ Amanz

Kemunculan kenderaan elektrik di Malaysia nampaknya begitu meriah tahun ini dengan pelbagai model telahpun dilancarkan sehingga kini. Hari ini satu lagi model kenderaan elektrik akan ditawarkan untuk pengguna tempatan iaitu Mercedes-Benz EQE 500 SUV berprestasi tinggi yang sarat dengan ciri-ciri premium.

Dari segi prestasi, ia mempunyai dwi-motor yang berkuasa 402hp dan tork 858 nm yang membolehkan Mercedes-Benz EQE SUV ini memecut dari 0-100km/j sepantas 4.9 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j. Ia juga mempunyai bateri berkapasiti 90.56 kWh yang membolehkan jarak perjalanan sekitar 550km WLTP dicapai. Tempoh pengecasan penuh 0-100% selama 4 jam 45 minit menggunakan pengecas AC 22kW atau 0-80% sepantas 32 minit sekiranya menggunakan pengecas DC 170kW.

Antara ciri-ciri premium pada SUV ini termasuklah sistem suspensi udara AIRMATIC bagi keselesaan penumpang, kapasiti bagasi sebesar 520 liter yang boleh ditambah sehingga 1,675 liter apabila kerusi penumpang dilipat, paparan kokpit pemandu yang canggih, pembesar suara Dolby Atmos serta menyokong arahan suara Hey Mercedes.

Mercedes-Benz EQE 500 4Matic SUV ini dijual pada harga RM 485,888 tidak termasuk cukai jualan dan juga insurans. Sekiranya pembeli memilih pelan pembayaran Step Up Agility+, pembeli akan menerima kredit pengecasan RM 900 dari JomCharge. Model ini merupakan model terakhir yang dilancarkan Mercedes-Benz untuk tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd