Cari @ Amanz

Untuk beberapa tahun sekarang, Acer dilihat telah menjadi semakin serius tentang menjadikan syarikat mereka, termasuklah rakan-rakan syarikat mereka sebagai syarikat-syarikat yang mampan dan menggunakan sumber-sumber bumi secara sangat cekap.

Project Humanity diperkenalkan pada tahun 2017 untuk memastikan bahawa semua para pekerja syarikat faham akan keperluan untuk memastikan bahawa Acer beroperasi secara lestari, dan sifar pencemaran menjelang tahun-tahun 2035 dan 2050 kelak. Syarikat tersebut faham bahawa ia adalah satu proses yang bersifat jangka masa panjang, dan banyak yang perlu dilakukan sebelum mereka boleh menjanjikan perkara tersebut dan ia tidak boleh dilakukan berseorangan.

Oleh kerana itu, Project Earthion juga diperkenalkan pada tahun 2021 untuk memastikan bahawa rakan-rakan rantaian bekalan Acer faham kepentingan untuk memastikan bahawa operasi mereka juga adalah mampan. Ini termasuklah syarikat-syarikat yang membelkan bahan mentah untuk membangunkan komputer riba mereka, pembekal komponen, pembekal bungkusan, rakan-rakan logistik dan sebagainya.

Platform Acer Earthion memberikan syarikat-syarikat ini satu jalan untuk mereka menyediakan syarikat mereka untuk memenuhi keperluan ESG (Environmental, Social, Governance) yang memastikan bahawa mereka juga mengikuti piawaian persekitaran global.

Diantara contoh yang diberikan disini ialah dimana rakan logistik Acer telah menggantikan bahan api kapal-kapal yang menghantar produk-produk Acer dengan bahan biofuel yang lebih mesra alam sekitar, dan juga penggunaan bahan-bahan bungkusan yang lebih padat dan selari, untuk membolehkan lebih banyak komputer riba dihantar keluar, dan menjimatkan kos penghantaran barangan.

Malah, untuk Acer sendiri, CEO mereka, Jason Chen mengatakan bahawa pada tahun 2022, Acer Group sudah berjaya menukar 44 peratus daripada bekalan kuasa mereka di ibu pejabat mereka di Taiwan kepada tenaga lestari, selari dengan matlamat syarikat tersebut. Dua teknologi tenaga lestari yang dimanfaatkan termasuklah tenaga solar dan juga angin.

Malah, sebahagian daripada sebab mengapa Acer berada di COP28 ialah untuk memperkenalkan sebuah siri produk baru, iaitu produk bekalan kuasa yang akan diperkenalkan secara lebih meluas di masa hadapan.

Butiran mengenai produk ini tidak diketahui lagi, tetapi seperti komputer riba Acer Aspire Vero 16 generasi kedua, butiran lanjut mengenainya dijangka akan diketahui di acara CES 2024 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd