Tahun 2023 hampir berakhir dan pasti ramai yang tidak sabar untuk menantikan apakah perkembangan teknologi yang bakal diperkenalkan pada tahun 2024. Menurut laporan Bloomberg pada awal tahun 2024 nanti MacBook Air, iPad Pro dan iPad Air generasi baharu akan dilancarkan.

Kedua-dua iPad Pro dan iPad Air ini akan menggunakan skrin OLED bersaiz sekitar 11-inci ke 13-inci. Ia akan menjalankan iPadOS 17.4, dijana cip Apple M3, akan menyokong Magic Keyboard baharu dan juga Apple Pencil. Magic Keyboard baharu ini akan diperbuat daripada aluminium dan boleh mengubah iPad menjadi seakan komputer riba. iPad Air turut akan mempunyai pilihan skrin sama ada 11-inci atau 12.9-inci, kali pertama model ini ditawarkan dengan dua saiz.

Akhir sekali MacBook Air baharu ini turut akan dijana cip Apple M3. Apple turut dikatakan akan menawarkan dua saiz iaitu 13-inci dan 15-inci. Ia akan diperkenalkan sekitar Januari ke Februari tetapi hanya akan tiba ke tangan pengguna sekitar bulan Mac.
Sama-sama kita nantikan kehadiran tiga produk generasi baharu ini dan saksikan adakah harganya berbaloi pada tahun 2024 atau akan menjadi semakin mahal.