Carian
Pencipta Touch ID Dilaporkan Akan Bersara Dari Apple
December 7, 2023 Fahim Zahar

Anda mungkin mengenali nama Steve Jobs, Steve Wozniak atau Tim Cook apabila berbincang mengenai Apple. Tetapi adakah anda mengenali nama Steve Hotelling? Hotelling ialah antara individu penting di Apple kerana beliau adalah salah seorang yang mencipta Touch ID, terlibat dalam pembangunan Face ID, dan teknologi skrin multi sentuh. Menurut Bloomberg, Hotelling kelak akan bersara dari Apple.

Nama beliau turut tersenarai dalam ratusan dokumen paten rekaan yang didaftarkan oleh Apple. Beliau turut sempat terlibat dengan pembangunan Vision Pro iaitu antara set kepala realiti gabungan paling canggih di pasaran. Walaupun beliau adalah individu yang penting dalam sejarah pembangunan Apple, tiada gambar rasmi beliau boleh ditemukan di atas talian. Wakil Apple enggan memberikan komen sama ada laporan Hotelling bakal bersara adalah benar ataupun tidak pada waktu ini.

Komen