Carian
Dron Pemusnah Anduril Roadrunner-M Direka Untuk Boleh Digunakan Semula
December 11, 2023 Effi Saharudin

Dua perkara besar dipelajari daripada konflik di Ukraine dan Nagorna Karabakh ialah dron amat efektif di medan perang dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding sistem peluru berpandu dan bom sedia ada. Saiznya yang kecil membuatkan dron bukan sahaja sukar dikesan radar tetapi tidak mudah didengari oleh musuh serta sukar ditembak jatuh. Maka tentera konvensional memerlukan sistem menangkis serangan dron untuk keperluan perang di masa hadapan.

Anduril, syarikat dron yang di tubuhkan oleh pencipta Oculus, Palmer Luckey memperlihatkan dron Roadrunner-M yang direka untuk memusnahkan dron musuh dan juga pesawat kecil. Roadrunner-M dilengkapi dua enjin jet yang membolehkan ia terbang secara menegak dan mencapai kelajuan subsonik. Dengan kepala peledak, ia boleh memintas dron musuh atau pesawat (termasuk helikopter) sebelum meletup seperti sebuah peluru berpandu SAM tradisional.

Yang menjadikan Roadrunner-M unik ialah sekiranya ia dilancarkan tetapi gagak memintas musuh, ia boleh kembali mendarat secara menegak (seperti roket Space-X) untuk diisi semula bahan api dan digunakan semula. Ini mengurangkan kos berbanding peluru berpandu yang tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Menurut Anduril sistem anti dron mereka ini lebih murah dan berkemampuan lebih baik berbanding sistem anti dron lain di pasaran. Kelajuan dan jarak operasi Roadrunner-M tidak pula didedahkan pada waktu ini. Sebelum Roadrunner-M, Anduril melancarkan Anvil yang memusnahkan dron lain dengan melakukan pelanggaran di udara. Kerana rekaannya yang tahan lasak, Anvil boleh dikitar semula untuk melakukan lebih daripada satu misi.

Komen