Selepas 9 bulan akhirnya, realme GT3 240W tiba ke pasaran Malaysia. Saya mula menggunakan peranti ini sejak bulan Mac lepas ketika berada di MWC Barcelona 2023. Ia adalah telefon pintar pertama di dunia yang boleh dibeli dengan pengecasan 240W serta turut menjadi yang pertama oleh realme dengan sokongan RGB yang digelar Pulse Interface Design.
Peranti ini turut dijana cip Snapdragon 8+ Gen 1 dan selepas 9 bulan dengan harga RM2799 untuk varian 16GB RAM LPDDR5X + 1TB UFS 3.1 adakah ia berbaloi untuk dimiliki atau patut beli peranti pesaing yang lebih berkuasa pada harga ratusan Ringgit lebih murah?
SPESIFIKASI
Realme GT3 240W | |
---|---|
Skrin | 6.74-inci OLED, 2772 x 1240, 1.5K, 144Hz |
Pemproses | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) |
Cip | 1 X 3.19 GHz Cortex X2 3 X 2.75 GHz Cortex A710 4 X 2.00 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 16 GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 1TB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.88 (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar) 2 MP, f/3.3, (Mikroskop) Street Photography 3.0 |
Kamera Depan | 16 Megapixel |
Bateri | 4600 mAh Pengecasan berwayar 240W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
Harga Jualan | Bermula $649 *RM2912 (pertukaran terus) |
REKAAN
Siri realme GT biasanya terkenal untuk inovasi baharu. GT3 240W i memfokuskan pengecasan pantas dengan sistem RGB yang turut mempunyai kemampuan gaming tahap tinggi. Peranti ini sebenarnya adalah realme GT5 Neo untuk pasaran global dengan rekaan peranti realme yang dikenali ramai.


Apa yang menyerlah dengan peranti ini adalah panel belakang kerana menggunakan bonggol kamera gergasi. Ia agak besar, tetapi nipis sehingga boleh diletakkan di atas permukaan yang rata tanpa sebarang masalah. Di sebelah kamera terdapat tingkap lutsinar memaparkan lokasi cip yang dilindungi dengan plat plastik “Snapdragon 8+ Gen 1”. Di kelilingnya pula adalah lampu RGB Pulse Interface Design yang menyala mengikut aktiviti pengguna.


Di atas peranti terdapat sensor infra merah, lubang mikrofon dan lubang kecil untuk kekisi speaker stereo. Di bawah terdapat satu lagi lubang mikrofon, slot kad SIM, kekisi speaker dan port USB-C. Sisi kanan hanya terdapat butang laras suara dan siri kiri pula hanya butang kuasa.

Peranti yang saya uji ini menggunakan warna Pulse White dengan kemasan lembut yang tidak mudah comot. realme GT3 240W ini turut mudah untuk dikendalikan. Ia tidak begitu besar untuk tangan saya dan binaan juga cukup nipis untuk mudah disimpan dalam kocek seluar.
SKRIN
Skrin bersaiz Saiz 6.74″ yang cukup besar, panel AMOLED dengan warna hitam yang sebenar, kadar segar semula 144Hz yang ultra pantas tetapi sayang sekali bukan LPTO. Sokongan resolusi 1.5K amat dihargai untuk menonton video, memandang ia tidak menyokong HDR10+. Warna skrin juga cukup tajam dan cantik. Cuma kecerahan yang terhad kepada 1100 nits agak mengecewakan dengan kebanyakan peranti dalam kelas sama sudah menyokong lebih 1500 nits.

Tiada LTPO tidak akan menjadi masalah sekiranya sistem adaptif pada perisian berfungsi dengan baik. Sayang sekali ia tidak konsisten kerana saya kerap dapat rasakan skrin bergerak pada kadar 60Hz dan 90Hz berbanding 120Hz dan 144Hz. Bezel juga agal tebal untuk peranti berharga hampir RM3000. Satu perkara yang saya boleh maafkan adalah tiada sokongan HDR10+ tetapi digantikan dengan AI O1 Ultra Vision yang sama pada Oppo yang kini terbina dalam realme UI 4.0.

SISTEM BIOMETRI
Pengimbas cap jari yang digunakan adalah jenis optikal, di mana agak pantas berbanding iQOO 12 yang lebih mahal. Jari saya yang berpeluh pun kerap dapat dikesan. Begitu juga sistem imbasan wajah yang menggunakan kamera swafoto, ia pantas mengenalpasti wajah saya kerana hanya beberapa saat skrin peranti boleh dinyahkunci dengan sendiri.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – REALME UI 4.0, ANDROID 13
relame GT3 240W dengan realme UI 4.0 berasaskan Android 13 adalah peranti realme yang paling menyemai OnePlus. Saya katakan begini kerana Chase Xu iaitu naib presiden realme pernah memberitahu yang realme UI menggunakan kod yang sama dengan ColorOS dan juga OxygenOS. Untuk itu GT3 memberikan pengalaman penggunaan yang pantas dan lancar seakan menggunakan peranti mercu OnePlus.

Sepanjang beberapa bulan penggunaan, peranti ini jarang mengalami masalah lengah masa walaupun dengan tugasan yang berat. Ia adalah antara perisian realme terbaik pernah saya gunakan, cuma versi global ini masih ingin memaparkan iklan yang mengarut seakan peranti realme siri C. Setiap kali aplikasi dipasang pasti akan ada tetingkap khas dibuka yang kononnya untuk semakan keselamatan, tetapi pada masa yang sama ada iklan memuat turut aplikasi lain.


Antara ciri menarik yang saya temui pada peranti ini adalah;
- Pulse Interface
- Lampu RGB yang berubah mengikut aktiviti pengguna.
- GT Mode 4.0
- Mod permua yang meningkatkan prestasi dan mengawal suhu.
- IR Remote
- Sensor infra merah untuk mengubah peranti menjadi alat kawalan jauh.
- Realme Lab
- Ciri eksperimen seperti imbas nadi dengan cap jari.
- Kamera Mikroskop
- Zum 20x atau 40x pada jarak ultra dekat.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS – SNAPDRAGON 8+ GEN 1, GT TURBO 4.0
Cip Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 adalah antara cip peranti mercu Android yang terbaik. Walaupun sudah lebih setahun usianya dan Snapdragon 8 Gen 3 sudah pun dilancarkan ia mampu menjalankan permua grafik tinggi dengan lancar. Sayang sekali, unit yang saya uji adalah 16+12 GB (maya) RAM dan 256 GB storan dalaman berbanding versi Malaysia nanti 16 + 12 GB dan 1000 GB. Jadi markah penanda aras ini mungkin lebih rendah berbanding unit yang dijual nanti.

Berikut adalah perbandingan penanda aras antara peranti pesaing iaitu Nothing Phone (2) dengan Snapdragon 8+ Gen 1, Xiaomi 13T Pro dengan Dimensity 9200+, serta iQOO 12 dengan Snapdragon 8 Gen 3. Aplikasi yang saya gunakan adalah AnTuTu 3D, Geekbench 6, 3DMark untuk WildLife Extreme. Solar Bay tidak dibandingkan kerana 8+ Gen 1 tidak menyokong Ray Tracing.
Antutu 3D
- realme GT3 240W – 1,249,785
- Nothing Phone (2) – 1,142,277
- Xiaomi 13T Pro – 1,431,444
- iQOO 12 – 2,075,821
Geekbench 6
- realme GT3 240W – 1446/3940
- Nothing Phone (2) – 1734/4576
- Xiaomi 13T Pro – 1284/3520
- iQOO 12 – 2181/6631
3D Mark Wildlife Extreme
- realme GT3 240W – 2798 / 16.76 FPS
- Nothing Phone (2) – 2584 / 15.50 FPS
- Xiaomi 13T Pro – N/A
- iQOO 12 – 5045 / 30.22 FPS
Bermain permua dengan mod GT adalah sangat menarik. Permua benar-benar lancar cuma mod ini menyebabkan peranti memanas sedangkan peranti Snapdragon 8+ Gen 1 lain tidak memanas. Tetapi perisian realme UI 4.0 dengan mod GT baharu cuba sedaya mungkin memanfaatkan cip ini kerana mampu menjadikan prestasi lebih tinggi berbanding cip Dimensity 9200+.


TELEFONI DAN GPS
Sambungan 5G, 4G dan WiFi pada peranti mengejutkan beroperasi dengan sangat baik dan cukup seimbang. Kelajuan internet cukup pantas, sokongan telefoni untuk VoWiFi atau VoLTE juga menarik dan kualiti panggilan video juga jelas dan terang. Penggunaan GPS juga agak pantas untuk Google Maps dan VWaze mengunci lokasi dan mudah untuk saya mengikut arahan selok-belok tanpa tersesat.
KAMERA
realme GT3 240W bukanlah peranti yang memfokuskan fotografi seperti realme 11 Pro+. Walaupun begitu, ia masih mempunyai kemampuan kamera yang baik dan boleh diterima. Masalah utama yang saya hadapi adalah warna dan fokus yang tidak konsisten lebih-lebih lagi pada mod potret yang tidak kemas. Mod sudut ultra lebar pun ala kadar sahaja.

Apa yang menarik dengan kamera peranti ini adalah, terdapat sensor mikroskop 2MP yang boleh mengambil gambar jarak yang sangat dekat. Berikut adalah sampel gambar yang saya ambil ketika di Barcelona dan beberapa di Malaysia. Setiap gambar saya sertakan butiran seperti mod dan situasi pencahayaan. Peranti ini agak lemah dalam rakaman video serta mengambil gambar mod malam.












AUDIO
Speaker peranti ini agak aneh kerana mod Dolby Atmos hanya boleh diaktifkan jika ada aksesori audio disambungkan. Speaker stereo peranti ini tidak begitu memberangsangkan untuk peranti berharga RM2,799. Ia terlampau fokus kepada bass sehingga vokal semua tenggelam dan pengalaman mendengar muzik atau menonton video tidak mengasyikkan.

BATERI
Dalam penggunaan saya, peranti ini mempunyai ketahanan bateri sekitar 4-5 jam SOT untuk penggunaan yang berat dengan skrin 144Hz, aktif bermain permua, kerap membuka aplikasi media sosial, melayari web dan menggunakan kamera. Penggunaan yang ringan boleh mendapat 7-8 jam SOT. Bateri 4600mAh pada peranti ini agak baik sebenarnya berbanding dengan pesaing yang menggunakan 5000mAh sukar mendapat SOT seperti ini.

Pengecasan 240W iaitu 0% sehingga 100% dalam masa 9 minit 30 saat ternyata benar dan seakan sekelip mata sudah selesai dicas. Cuma ia mewajibkan saya menghidupkan mod GT jika tidak ia menjadi lebih perlahan. Kabel yang diberikan juga adalah jenis 12A, dan pengecas menggunakan teknologi GaN. Walaupun realme mendakwa ia boleh bertahan sehingga 1600 kitaran, tetapi peranti memanas ketika pengecasan dan dengan penggunaan saya yang ekstrem terdapat kerisauan untuk ia mempunyai ketahanan jangka masa panjang.

PERBANDINGAN
realme GT3 240W | Nothing Phone (2) | Xiaomi 13T Pro |
6.74-inci OLED, 2772 x 1240, 1.5K,144Hz | 6.7″ OLED LTPO, FHD+, 120Hz, HDR10+ | 6.67″ AMOLED, QHD+, 144Hz, Dolby Vision |
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 | Dimensity 9200+ (4nm) 1 X 3.35 GHz Cortex X3 3 X 3.0 GHz Cortex A715 4 X 2.0 GHz Cortex A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Immortalis-G715 MC11 |
16 GB LPDDR5 | 16 GB LPDRR5 | 12/16 GB LPDDR5X |
1000 GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 3.1 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama 50 MP, f/1.88 (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar) 2 MP, f/3.3, (Mikroskop) Street Photography 3.0 | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K 60p | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 50MP f/1.9 (Telefoto) 8K 24p |
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.2 |
Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.5 | IP54 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4600 mAh (Berwayar 240W) | 4700 mAh (Berwayar 45W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) |
RM 2,799 (16GB / 1TB) | RM 2999 (12/256 GB) RM 3499 (12/512 GB) | RM 2499 (12/256 GB) RM 2699 (12/512 GB) RM 3499 (16 GB / 1TB) |
APA DALAM KOTAK?
Setiap pembelian realme GT3 240W, anda akan menerima;
- 1x realme GT3 240W.
- 1x Pengecas GaN 240W.
- 1x Kabel USB-C 12A.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x pin SIM.
- 1x set buku panduan dan keselamatan.
KESIMPULAN
realme GT3 240W tidak dinafikan adalah sebuah peranti mercu yang baik. Cuma peranti pantas ini sudah berusia 9 bulan dan terlambat untuk dijual di Malaysia. Ini kerana peranti Snapdragon 8 Gen 2 sudah boleh didapati pada harga lebih murah. Kamera peranti ini juga biasa sahaja, kelebihan utama hanyalah pada pengecasan pantas dan lampu RGB.

Jika anda mahukan pengalaman perisian yang baik, pengecasan pantas kurang 10 minit, kamera mikroskop, prestasi yang baik dan storan 1TB – inilah peranti untuk anda. Tetapi jika anda belanja RM2699, iaitu kurang RM100 anda boleh dapatkan Xiaomi 13T Pro dengan prestasi lebih kurang sama, kamera lebih baik, IP68, storan dan memori 12/512 GB serta pengecasan 120W yang sudah cukup pantas.
Pro
- Pengecasan ultra pantas yang tidak masuk akal.
- Pengecas disediakan adalah jenis GaN yang boleh mengecas banyak peranti lain.
- Realme UI 4.0 sangat sangat lancar.
- Kemasan peranti yang selesa di tangan.
- Sistem lampu RGB yang menarik dan berguna.
Kontra
- Rekaan keseluruhan yang nampak biasa.
- Kerisauan peranti memanas walaupun sudah ada ciri keselamatan.
- Ketahanan bateri yang mungkin terjejas kerana ada sistem RGB.
- Harga yang agak mahal untuk peranti yang sudah berusia.
