Carian
10 Berita Teknologi Aeronautik Dan Aeroangkasa Paling Menarik 2023
December 12, 2023 Effi Saharudin

Selepas senarai berita teknologi ketenteraan kami terbitkan semalam dan hari ini tiba pula giliran rangkuman teknologi aeronautik dan aeroangkasa paling menarik 2023 Senarai ini dipenuhi dengan pelbagai kejayaan pertama dalam sejarah manusia seperti penghantaran mesej laser paling jauh, kapal udara moden terbesar dan kebenaran mengenai fenomena udara tidak diketahui (UAP).


1. Dua Pelancaran SpaceX Starship Berakhir Dengan Letupan

Super Heavy dan Starship sebelum pelancaran

SpaceX melancarkan prototaip kapal angkasa Starship sebanyak dua kali tahun ini. Kali pertama pada April dan kali kedua pada awal bulan November dengan kedua-duanya berakhir dengan kegagalan. Dalam misi pertama tidak semua 33 enjin roket Super Heavy berfungsi kerana rosak ketika dilancarkan sebelum ia dan Starship meletup secara mengejut.

Dalam misi kedua pula ia berjaya menjalani proses perpisahan tahap pertama. Super Heavy kemudiannya meletup secara mengejut ketika dalam perjalanan turun semula ke permukaan laut Teluk Mexico. Starship kemudian meneruskan perjalanan ke ketinggian sasaran tetapi kemudian hubungannya dengan Starbase terputus dan ia turut telah meletup.

Walaupun tidak berjaya kembali semula ke bumi, SpaceX mengatakan data yang dikumpul cukup berguna untuk empat lagi ujian yang ingin dilakukan. Starship diperlukan untuk Misi Artemis dan Dear Moon. Kegagalannya akan mengakibatkan Misi Artemis ditangguh daripada tarikh asal 2025.


2. NASA Berjaya Hantar Isyarat Komunikasi Laser Sejauh 16 Juta KM

DSOC (silinder dengan penutup emas) pada sisi kapal angkasa Psyche

Untuk berhubungan dengan proba angkasa seperti Voyager, teknologi komunikasi radio digunakan. Tetapi dengan manusia ingin mengembara lebih jauh, sistem komunikasi yang lebih pantas serta menampung data yang tinggi adalah diperlukan. Untuk merealisasikan impian ini, NASA telah memulakan eksperimen untuk sistem komunikasi Deep Space Optical Communication (DSOC) berasaskan laser.

DSOC telah diletakkan pada kapal angkasa Psyche yang dilancarkan pada 13 Oktober lalu. Pada 14 November, isyarat laser dari Psyche dihantar ke bumi yang pada waktu tersebut terletak 16 juta kilometer jauhnya. Isyarat ini berjaya diterima dan menjadikannya isyarat komunikasi laser paling jauh pernah dilakukan bersamaan 40 kali jarak antara bumi dan bulan.

Sistem komunikasi radio semasa mempunyai kelajuan penghantaran data pada kadar 5.2 Mbps sahaja yang terlalu perlahan untuk keperluan komunikasi antara bumi dan koloni Marikh di masa hadapan. DSOC ingin meningkatkan kadar penghantaran data antara 10-100 kali ganda bagi membolehkan perhubungan video masa nyata dan penghantaran data besar dengan lebih pantas.


3. Kapal Angkasa Voyager 2 Dikemaskini Untuk Beroperasi Sehingga 2026

Di atas tadi kami sentuh mengenai proba angkasa Voyager 2 yang adalah objek buatan manusia yang paling jauh mengembara di angkasa lepas. Sejak dilancarkan pada tahun 1977, ia kini telah melepasi ruang angkasa najam dan dianggarkan kini sejauh 20 bilion km dari bumi. Tetapi menerusi kemas kini perisian yang dilakukan NASA pada bulan April, Voyager 2 diramalkan boleh beroperasi sehingga 2026.

Kuasa sandaran pada proba yang digunakan untuk mengelakkan lonjakan kuasa disalurkan kepada instrumen sains yang digunakan. Ini membolehkan proba terus mengumpul data saintifik untuk tempoh yang lebih lama. Voyager 2 sudah beroperasi hampir 45 tahun dan tapa kemas kini ini ia pada asalnya dijangka berhenti beroperasi pada tahun 2024. Kemudian beberapa bulan lalu komunikasi dengannya terputus seketika kerana kerana orientasi antena yang salah sebelum berjaya dihubungi semula selepas beberapa minggu Ogos lalu.


4. Pesawat Udara Terbesar Dunia Pathfinder-1 Diperlihatkan

Era pesawat udara seakan Graf Zappelin kembali dengan pengenalan Pathfinder-1 yang sepanjang 124 meter dengan diameter 20 meter pada November lalu yang menjadikannya yang terbesar di dunia pada waktu ini.

Pathfinder-1 dibangunkan oleh LTA Research yang menerima dana daripada pengasas Google Sergey Brin. Ia adalah pesawat udara yang direka untuk membawa kargo dan memberikan bantuan ketika bencana. Kerana ia tidak memerlukan landasan panjang untuk mendarat atau terbang, Pathfinder-1 boleh pergi ke mana-mana lokasi ia diperlukan asalkan terdapat ruang yang mencukupi untuk mendarat.

Kerangkanya diperbuat daripada bahan titanium dan tiub gentian karbon yang bukan sahaja tahan lasak tetapi lebih ringan berbanding aluminium pada Hindenburg. Terdapat 13 beg udara gas helium yang diperbuat daripada nilon tahan koyak. Sistem LiDAR digunakan untuk mengesan kebocoran secara masa nyata.S ebanyak 12 motor elektrik digunakan bukan sahaja sebagai sistem tujahan tetapi membantu ia mendarat serta terbang. Pathfinder-1 telah menerima kebenaran FAA untuk memulakan ujian penerbangan. Ia adalah langkah utama sebelum Pathfinder-3 sepanjang 180 meter dihasilkan bagi tujuan operasi komersial.


5. NASA Kitar Semula 98% Peluh Dan Air Kencing Angkasawan ISS

Brine Processor Assembly (BPA)

Mengitar semula adalah baik untuk bumi tetapi di angkasa lepas ia lebih perlu bagi memastikan angkasawan boleh terus hidup. NASA telah berjaya mengitar semula air kencing dan peluh angkasawan kepada air yang boleh diminum pada Jun lalu. Sehingga 98% air kencing dan peluh angkasawan ISS boleh diproses oleh sistem baharu ini berbanding sehingga 94% menggunakan sistem terdahulu. Sistem Environmental Control and Life Support System (ECLSS) mengitar semula wap air daripada peluh dan helaan nafas angkasawan.

Sementara itu sistem Urine Processor Assembly (UPA) pula mengitar semula air kencing dan bahan kumbahan lain menggunakan sistem penapisan vakum. Selepas ditapis masih terdapat saki baki air garam yang kemudian diproses pula menggunakan Brine Processor Assembly (BPA) yang mengekstrak lebih banyak air untuk dikitar semula.

Air kemudiannya dipantau bagi memastikan kualitinya. Sekiranya tidak ia menjalani proses penapisan sekali lagi. Menurut NASA piawaian kebersihan air di ISS adalah lebih ketat berbanding yang digunakan pelbagai majlis perbandaran di Amerika.


6. Satelit A-SEANSAT-PG1 Oleh Angkasa-X Berjaya Dilancarkan

Amerika ada SpaceX, Malaysia ada Angkasa-X! Syarikat teknologi angkasa lepas tempatan ini berjaya melancarkan satelit A-SEANSAT-PG1 dari Kosmodrom Vostochny di Rusia pada Jun lalu. Ia dilancarkan menggunakan roket Soyuz-2.1b. Turut dilancarkan bersama A-SEANSAT-PG1 ialah satelit meteorologi Meteor-M 2-3 dan 41 lagi CubeSat daripada pelbagai syarikat lain.

A-SEANSAT-PG1 adalah dari jenis satelit nano yang akan menjadi sebahagian daripada 500 satelit yang dirancang akan dilancarkan oleh Angkasa-X. Empat lagi satelit akan dilancarkan dalam tempoh empat tahun lagi. Selain menawarkan perkhidmatan Internet menggunakan satelit, Angkasa-X juga ingin menawarkan perkhidmatan penjejakan kapal untuk meningkat keselamatan maritim di rantau Asia Tenggara. Perkhidmatan pengimejan dan memantau menerusi teknologi internet-benda juga bakal ditawarkan.


7. India Menjadi Negara Keempat Berjaya Mendarat Di Permukaan Bulan

Lewat Ogos tahun ini, India menyertai senarai negara elit kerana berjaya mendarat di permukaan bulan menerusi misi Chandrayaan-3. Kenderaan pendarat Vikram mendarat dengan selamat berhampiran Kutub Selatan bulan. India turut menjadi negara pertama berjaya mendaratkan kapal angkasa di Kutub Selatan bulan. Kawasan ini dilihat sebagai yang paling sesuai untuk dijadikan penempatan masa hadapan untuk koloni manusia pertama di bulan kerana kewujudan air yang dikesan oleh misi Chandrayaan-1.

Sejurus selepas mendarat, Vikram melancarkan kenderaan perayau enam roda Pragyaan seberat 26 kg yang mempunyai kemampuan melakukan analisa sampel tanah bulan. Hanya beberapa hari sebelumnya Rusia cuba melakukan misi Luna-25 untuk turut mendarat di Kutub Selatan bulan tetapi ianya terhempas. Jepun akan cuba menjadi negara kelima mendarat di bulan menerusi misi SLIM (Smart Lander for Investigating Moon) pada 19 Januari depan.


8. Saintis Ingin Gunakan Teritip Bagi Mencari Lokasi MH370 Terhempas

MH370

Kehilangan pesawat MH370 pada Mac 2014 sehingga kini menjadi antara misteri yang tidak terjawab setanding dengan kehilangan Amelia Earhart. Saintis daripada University of South Florida (USF) kini mengatakan lokasi akhir MH370 mungkin boleh dikesan menggunakan teritip. Setahun selepas pesawat hilang, beberapa puing seperti flaperon dan bingkai tingkap pesawat ditemukan tersadai di Pulau Reunion. Pada permukaannya ditemukan puluhan teritip yang mengesahkan pesawat terhempas ke laut.

Saintis UFS mengatakan teritip menghasilkan satu lapisan baharu pada cangkerang setiap hari yang mengandungi nisbah isotop oksigen yang berbeza. Secara teorinya sekiranya lapisan pada teritip paling besar yang menjadikannya paling tua pada permukaan puing pesawat dikaji, saintis boleh mencari kawasan ia mula tumbuh. Menggunakan data air, suhu dan pergerakan arus dari tahun 2014 saintis boleh mengecilkan kawasan carian pesawat terhempas.


9. Sampel Asteroid Misi OSIRIS-REx Selamat Kembali Ke Bumi

Misi OSIRIS-REx dilancarkan pada tahun 2016 dengan tujuan mengambil sampel daripada asteroid 101955 Bennu. Ia percubaan pertama untuk menganalisa komposisi asteroid semasa ia masih di angkasa lepas. Selepas tujuh tahun dilancarkan, sampel asteroid yang diambil kembali ke bumi pada 25 September lalu.

Sampel dikutip pada 20 Oktober tahun lepas dan kapsul mengandungi sampel 101955 Bennu telah melakukan perjalanan pulang kembali ke bumi sejak itu. Sebanyak 250 gram sampel dipercayai berjaya dikumpul oleh misi ini. Sejak diambil ia disimpan di dalam kebuk yang berisi nitrogen bagi memastikan tiada pencemaran pada sampel. Apabila bekas dibuka pada pertengahan Oktober, sampel didapati mengandungi karbon dan tanah liat mengandungi air.


10. Kongres Diberitahu Amerika Syarikat Menyimpan UFO Dan Mayat Makhluk Asing

Julai lalu Kongres Amerika Syarikat diberitahu bahawa kewujudan Fenomena Udara Tidak Diketahui (UAP) sudah dirahsiakan oleh kerajaan menerusi beberapa agensi sejak 1930an lagi. Mej (B) David Grusch yang dahulunya bertugas untuk Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) memberikan kenyataan bersumpah kepada jawatankuasa kecil kongres bahawa A.S turut menyimpan bangkai UAP yang terhempas bersama dengan mayat makhluk asing di dalamnya.

Lebih mengejutkan Amerika Syarikat dikatakan telah menggunakan kejuruteraan berbalik bagi mendapatkan teknologi daripada bangkai UAP yang telah dikumpul. Dalam usaha tersebut, kematian juga dikatakan berlaku. Minat mengenai UAP meningkat semula di A.S selepas insiden belon milik China ditembak jatuh USAF kerana didakwa melakukan aktiviti intipan.

Pihak Pentagon telah pun mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Grusch. NASA telah memulakan kajian kewujudan UAP tahun lalu dengan laporan akhir akan diterbitkan dalam masa terdekat. Dalam laporan awal yang dikeluarkan ahli jawatankuasa mengatakan ramai saksi enggan memberikan kenyataan bersumpah kerana risau stigma negatif yang bakal diterima.

Komen