Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini telah melakukan rombakan kabinet, sekaligus membawa kepada perubahan beberapa kementerian dan menteri yang menerajuinya. Salah satunya adalah Kementerian Komunikasi dan Digital.
Kini, Kementerian Komunikasi dan Digital akan dipecahkan kepada dua. Menteri Fahmi Fadzil akan kekal menerajui Kementerian Komunikasi, sementara Gobind Singh Deo akan menerajui Kementerian Digital. Sementara itu Datuk Ugak anak Kumbong pula menyandang jawatan sebagai timbalan Menteri Digital. Beliau sebelum ini memegang jawatan timbalan menteri Tugas-Tugas Khas dan Hal Ehwal Sabah Sarawak.
Sebelum ini, Gobind Singh Deo pernah menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 2018 yang lepas, dan ketika itu telah mengurangkan harga jalur-lebar, serta memfokuskan kepada pengenalan 5G.
Apa pun, bidang kerja dan pembahagian penuh masih tidak diketahui lagi buat masa ini. Tetapi, kita mungkin boleh menjangkakan agensi seperti MDEC akan mula beroperasi di bawah Kementerian Digital selepas ini. Dengan pembahagian ini juga, ia dijangka akan memudahkan lagi fokus dalam meningkatkan ekonomi digital tempatan berbanding sebelum ini.