Carian
Pendaftaran MyDigital ID Akan Dibuka Kepada Umum Pada Mac 2024
December 12, 2023 Aman

MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) kini mengumumkan pendaftaran umum untuk My Digital ID akan dimulakan Mac 2024 kelak. Buat masa ini, walaupun semua boleh mendaftar, namun kakitangan kerajaan diutamakan terlebih dahulu. 

MyDigital ID adalah langkah dalam memudahkan pendaftaran dan penggunaan identiti di pelbagai platform digital kerajaan – dan dijangka turut diperluaskan pada aplikasi swasta yang lain. Ini juga dijangka akan memudahkan lagi proses pengesahan identiti yang kini bergantung kepada penyedia pihak ketiga luar negara oleh pelbagai aplikasi, termasuk aplikasi perbankan dan dompet digital.

Dengan langkah kerajaan kini memfokuskan kepada usaha digitalisasi, langkah MyDigital ID akan memudahkan penyeragaman penggunaan identiti rentas pelbagai perkhidmatan.

MIMOS turut menekankan yang mana MyDigital ID sedia diiktiraf di peringkat antarabangsa, dengan pensijilan EAL3+. Disamping itu, ia turut mengikat secara krptografi dalam memastikan keselamatan terjamin.

https://www.youtube.com/watch?v=UP1CxJMpbFg

Pada masa yang sama, ia turut ditekankan MyDigital ID tidak akan menyimpan sebarang data biometrik, selain tidak mengumpul atau menyimpan pangkalan data peribadi pengguna. Secara kasar, ia berfungsi sebagai sebuah token yang mengesahkan identiti pengguna sahaja.

MIMOS dijangka akan berkongsi lanjut berkenaan lokasi kios pendaftaran untuk MyDigital ID menjelang Mac 2024 kelak.

Komen