Cari @ Amanz

Pernah atau tidak orang yang anda sayang atau kawan anda ingin meminjam telefon kemudian mereka ingin bergurau dengan membuka pelbagai aplikasi, membaca mesej dan lain-lain lagi? Jika bukan bergurau, sesuatu rahsia dalam telefon boleh terdedah dengan tidak sengaja. Disebabkan itu OnePlus, Samsung dan beberapa pengeluar syarikat lain membenarkan pengguna menyembunyikan fail atau aplikasi.

OnePlus ada ciri Hidden Space dan Samsung pula mempunyai Hide Apps. Akan datang dalam Android 14, Google dilihat sedang bersiap sedia untuk menyertakan ciri Private Space agar pengguna boleh menyembunyikan aplikasi sensitif seperti perbankan, pengurus fail atau galeri gambar.

Menjadikan Private Space lebih menarik adalah ia bukan sekadar menyembunyikan aplikasi dalam pelancar, tetapi keseluruhan sistem Android. Dalam tetapan sistem, aplikasi yang telah disembunyikan turut tidak akan dipaparkan begitu juga dengan notifikasi selagi Private Space ini tidak dinyahkunci sama ada dengan kata laluan, pin atau imbasan cap jari.

Buat masa ini masih tidak pasti bila ciri ini akan diedarkan kepada semua pengguna Android 14. Ia masih dalam peringkat ujian awal dengan pengguna Android 14 QPR Beta 2 yang terkini pun masih tidak dapat mengakses ciri ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd