Nubia Z60 Ultra akan diumumkan di China pada 19 Disember dan rekaannya kini diperlihatkan secara rasmi. Ia juga masih mengekalkan tubuh yang rata dan berkotak seperti sebelum ini. Cumanya lebih segar dengan perubahan pada bonggol kamera.

Ia mencuri perhatian dengan satu lensa utama besar bersama lingkaran berwarna merah yang mendominasi panel belakang. Peranti juga mempunyai sistem telefoto periskop bersebelahan dengan sensor utama tadi. Kemudian diikuti denga sensor ultra lebar yang diletakkan dalam bonggol tunggal di bahagian atas.

Panel hadapan sepenuhnya tanpa lubang yang bermakna kamera swafoto akan terbina di bawah skrin. Ia dikatakan lebih baik sekaligus membuatkan skrin kelihatan lebih seimbang dan sedap mata memandang. Sebanyak tiga pilihan warna disediakan yang termasuk biru, hitam dan kuning cair.