Banyak yang telah diperkatakan mengenai konsol Sony PlayStation 5 Pro, tetapi ini merupakan kali pertama dimana begitu banyak sekali ura-ura telah hadir mengenai spesifikasi konsol “baru” ini.
Model pembangun PS5 Pro yang akan dihantar kepada pembangun-pembangun permainan dilaporkan dinamakan “Project Trinity”, dimana ia akan tampil dengan spesifikasi lebih berkuasa berbanding dengan apa yang ditawarkan dengan konsol PlayStation 5 sekarang.
Ura-ura ini termasuklah sebuah CPU AMD Zen 2 dengan 8 teras berkelajuan 4.4GHz, sebuah cip grafik RDNA3, 60 Compute Unit dan memori GDDR6 sebanyak 16GB. SoC yang akan digunakan dijangka hadir dengan nama Viola, dan akan dibangunkan menggunakan proses 4nm oleh TSMC khusus untuk konsol ini.
Tom Henderson, seorang individu yang cukup dikenali di kalangan peniris maklumat produk berkata bahawa dia tidak boleh mengesahkan spesifikasi-spesifikasi yang sedang diperkatakan ini, kerana dia sendiri belum menerima butiran tersebut, tetapi mengatakan bahawa ia tidaklah mengejutkan sekiranya ia benar kerana Sony dilihat sudahpun mula mengagihkan konsol Project Trinity ini kepada sejumlah pembangun permainan video.