Huawei MatePad 13.2 dilancarkan ke peringkat global pada hari ini bermula di Dubai. Ia merupakan tablet terbesar yang pernah dihasilkan Huawei setakat ini dengan fokus terhadap golongan professional. Ia turut menawarkan tubuh dengan keempat-empat sisi melengkung yang secara langsung lebih memudahkan penggunaan.

Untuk lebih khusus skrin digunakan adalah sejenis OLED sebesar 13.2″ dengan resolusi 2880 X 1920 piksel dan kadar segar semula 144Hz. Tiada butiran khusus mengenai cip pemprosesan namun memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB digunakan. Selain itu bateri 10,100mAh dimuatkan juga menyokong pengecasan 88W. Kemudian kamera utama terdiri dengan 13MP + 8MP ultra lebar dan swafoto 16MP + ToF.

Sebagai tambahan tablet ini juga serasi digunakan bersama stylus Huawei M-Pencil (3rd generation) yang dilengkapi NearLink Starlight Wireless Connection Technology untuk sambungan lebih baik. Huawei mengesahkan tablet ini akan ditawarkan di Malaysia namun tarikh dan ketersediannya masih dirahsiakan pada waktu ini.