Cari @ Amanz

ASUS ROG Phone 8 dijangka boleh dilancarkan dalam masa terdekat ekoran semakin banyak maklumat mengenainya didedahkan. Misalnya seperti reka bentuk peranti yang kini diperlihatkan sepenuhnya menerusi laman web rasmi.

Memetik laporan Android Authority, ASUS sedang menjalankan ujian camera blind test untuk peranti tersebut dengan sejumlah fungsi fotografi yang termasuk potrait dan telefoto. Ini secara tidak langsung dapat memberi gambaran awal bahawa ROG Phone 8 boleh dilengkapi sensor telefoto, sekaligus menjadi antara terawal yang menawarkannya dalam siri tersebut.

Apabila selesai menjawab soalan diberi secara automatik imej reka bentuk peranti akan terpapar dengan dua pilihan warna. Adalah jelas bahawa peranti mempunyai bonggol kamera yang agak besar dan terkeluar daripada tubuh. Kemudian gaya ringkas turut menjadi pilihan ASUS pada panel belakang peranti yang juga menyertakan logo dengan sokongan RGB.

Seperkara yang turut ditemui ialah palam USB-C di bahagian sisi peranti sama seperti generasi sebelum ini. Tarikh pelancaran global masih belum pasti tetapi peranti telah dijadualkan tiba di China pada 16 Januari akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd