Cari @ Amanz

Apple memberikan ciri baharu Stolen Device Protection menerusi iOS 17.3 Beta semalam. Apabila diaktifkan oleh pemilik, iPhone yang telah dicuri akan menjadi sukar untuk digunakan sekaligus membuatkan ia hampir tidak berguna oleh pencuri.

Antara taktik yang digunakan oleh pencuri ialah mengintip kod kunci/kata laluan telefon. Selepas telefon berjaya dicuri, mereka hanya perlu memasukkan kod kunci/kata laluan untuk melakukan tetapan semula Apple ID, mematikan Find My dan melihat kata laluan tersimpan di iCloud Keychain.

Stolen Device Protection akan memerlukan pengesahan identiti menggunakan Face ID atau Touch ID terlebih dahulu apabila tetapan semula peranti ingin dilakukan. Jika mengesan tetapan semula dilakukan di lokasi yang tidak dikenali, dua pengesahan Face ID atau Touch ID diperlukan dalam masa sejam. Ini akan membuatkan proses menetapkan semula iPhone mustahil oleh bukan pemilik sebenar.

Tiada sela masa sejam antara pengesahan Face ID atau Touch ID jika tetapan semula dilakukan di lokasi yang dikenali seperti di rumah misalnya. Apple mengatakan Stolen Device Protection hanya boleh diakses dan perlu diaktifkan secara manual oleh pengguna iOS 17.3 Beta. Ia masih di peringkat percubaan dan tidak diberikan kepada semua pengguna apabila kemas kini iOS 17.3.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd