Cari @ Amanz

Kecerdasan buatan (AI) generatif menjadi teknologi perlu tahun ini dengan pelbagai perkhidmatan menyertakan ciri yang berasaskan chatbot seperti ChatGPT. Teknologi AI generatif kini diguna pakai pula untuk membolehkan pesakit strok atau yang mengalami sindrom terkunci di dalam tubuh (locked-in syndrome) untuk kembali bercakap.

AI BrainGPT dibangunkan oleh University of Technology Sydney dengan ia dilatih menggunakan data gelombang otak apabila teks dibaca oleh 29 sukarelawan. Pesakit dipakaikan topi dengan sensor EEG yang membolehkan otak mereka pula dibaca. BrainGPT akan mengubah bacaan gelombang otak ini kepada teks dan audio yang berkaitan dalam pangkalan data.

Dengan ini pesakit boleh kembali “bercakap” dengan ahli keluarga ataupun doktor walaupun sudah tidak lagi mampu bersuara seperti biasa. Sistem yang digunakan sebelum ini menggunakan kamera penjejak mata pesakit membenarkan pesakit menaip di skrin komputer.

BrainGPT mempunyai satu kelebihan berbanding sistem membaca gelombang otak yang dibangunkan sebelum ini kerana tidak memerlukan implan ditanam terus pada otak. Ogos yang lalu, kombinasi implan dan otak membolehkan seorang pesakit strok di California kembali bercakap selepas 18 tahun.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd