Honor dalam persediaan hadir dengan dua peranti baharu di bawah siri X yang dijadualkan memasuki pasaran tempatan pada 22 Disember 2023. Peranti dimaksudkan ialah Honor X8b dan Honor X7b dengan penawaran berbeza bagi memenuhi keperluan target pengguna masing-masing.

Honor sekadar berkongsi poster pelancaran rasmi tanpa butiran lebih lanjut mengenai spesifikasi dalaman. Sebaliknya sekadar menunjukkan reka bentuk peranti dengan imej acah yang turut menunjukkan implementasi seakan Dynamic Island padanya. Setakat ini ia dilihat boleh memaparkan kebolehan panggilan telefon diterima. Pada masa sama berpotensi juga menyokong beberapa ciri lain yang mungkin diumumkan kelak.


Semakan kami mendapati peranti juga telah mula tersenarai di laman penjual tempatan DirectD berserta spesifikasi lengkap. Melaluinya Honor X8b akan dilengkapi skrin sebesar 6.7″ FHD+ dengan kadar segar semula 90Hz. Turut disertakan ialah cip Snapdragon 680, bateri 4,500mAh, kamera utama 108MP + 5MP + 2MP dan swafoto 50MP.


Sementara itu Honor X7b juga berkongsi sebahagian besar aspek yang sama dengan perbezaan pada bateri lebih besar 6000mAh dan kamera hadapan pula 8MP. Turut disenaraikan adalah harga jualannya yang bermula RM799 untuk Honor X7b dan Honor X8b pula berharga RM999.