Cari @ Amanz

Beberapa pakar dalam dunia kecerdasan buatan (AI) memberikan amaran tahun in bahawa penggunaan AI tanpa kawalan boleh mengancam tamadun manusia. Dengan AI kini sudah melepasi tahap pertama kecerdasan am buatan (AGI), semakin banyak kerja yang dahulunya dilakukan manusia akan diambil alih. Salah satu kerjaya yang terancam ialah kewartawanan dan penyampai berita.

Channel 1 ialah saluran berita yang berpangkalan di Los Angeles dengan berita ditulis oleh AI dan disampaikan pula oleh hos yang juga adalah avatar yang digerakkan menggunakan AI. Saluran ini akan ditawarkan percuma menerusi laman web sendiri, aplikasi telefon pintar, X.com dan penstriman dengan sokongan iklan.

Di masa hadapan, pembangun Channel 1 berkata pelanggan boleh memperibadikan sendiri rupa dan suara penyampai berita AI mengikut kehendak peribadi. Malahan bahasa berita disampaikan turut boleh diubah ke bahasa Inggeris, Yunani, Tagalog dan Tamil seperti diperlihatkan dalam video di atas.

Saluran ini akan menggunakan sumber berita daripada agensi terkemuka yang belum diumumkan pada waktu ini. Dengan ini hanya berita yang disahkan sahaja akan disampaikan kepada penonton. Menurut Channel 1, pelanggan mereka kelak turut akan mendapat berita yang diperibadikan dengan minat mereka setiap hari apabila ditawarkan menerusi aplikasi telefon pintar. Saluran berita kecerdasan buatan sepenuhnya ini akan dilancarkan tahun depan tetapi tarikh belum diumumkan.

Penggunaan AI menggantikan penyampai bukanlah idea baharu. China memulakannya pada tahun 2018 dengan di Malaysia ia digunakan oleh stesen radio Fly FM dan juga di Astro Awani.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd