Threads, platform media sosial baru dibawah Meta nampaknya kini memperlihatkan populariti yang meningkat sedikit demi sedikit. Meta dilihat telah menambahkan sejumlah ciri-ciri baru kebelakangan ini seperti sokongan tagar, carian kata kunci dan sebagainya, dan terkini, mereka mengesahkan bahawa satu lagi ciri penting akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan.
Buat masa ini, pelan Meta untuk mengendalikan semakan fakta di Threads ialah dengan menggunakan data semakan fakta pada Facebook dan Instagram, dan apabila semakan fakta ini sudah disahkan oleh pihak Meta, ia kemudiannya akan dipinda ke Threads sebagai cara yang mudah untuk memastikan sebarang perkongsian di platform tersebut adalah tepat.
Kemudiannya, mereka akan menggunakan khidmat pihak ketiga untuk menyemak dan mengawasi kandungan yang disiarkan di Threads. Pengguna Instagram yang memilih untuk tidak mahu melihat begitu banyak kandungan sensitif di garis masa mereka juga akan diberi pilihan sama di platform Threads.
Buat masa ini, Meta dilihat masih lagi mementingkan kandungan yang dihasilkan pengguna mereka sendiri, dan akan menjaga platform mereka supaya ia mesra digunakan oleh pelbagai pengguna dari semua umur.