Sains adalah adalah antara cabang pengetahuan manusia yang paling penting. Terdapat banyak topik di bawah payung sains dan pada tahun 2023 muncul beberapa berita yang menggegarkan dunia seperti penemuan superkonduktor suhu bilik, pembangunan tokamak terbesar dan kematian saintis yang ternama. Berikut ialah 10 berita teknologi sains paling menarik 2023.

1. Rangka Manusia 14,000 Tahun Ditemukan Di Kelantan – Tertua Di Semenanjung Malaysia

Mulakan dengan berita besar dalam dunia arkeologi di Malaysia. Pada Jun lalu pasukan penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengumumkan penemuan rangka manusia yang dianggarkan berusia 14,000 tahun di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri Kelantan. Ini menjadikannya rangka tertua yang pernah ditemukan di Semenanjung Malaysia melangkaui rangka Perak Man yang dianggarkan berusia antara 10,000-11,00 tahun.
Pasukan arkeologi yang diketuai oleh Profesor Madya Zuliskandar Ramli telah memulakan kerja cari gali artifak di Lembang Neggiri sejak September lalu. Ia dilakukan sebelum keseluruhan lembah ini ditenggelami air Empangan Nenggiri yang beroperasi menjelang 2027.
Rangka di Gua Keledung Kecil ditemukan dalam posisi meringkuk seakan janin dengan pelbagai artifak purba di sekelilingnya. Tapak ekskavasi telah dibuka di 14 gua di Lembah Nenggiri bagi membolehkan artifak diselamatkan. Selain rangka manusia artifak dalam bentuk tembikar purba, tukul batu, batu kisar serta sisa makanan dalam bentuk kulit siput serta tulang haiwan telah berjaya dikumpulkan pasukan penyelidik.
2. Bayi Dengan Gabungan DNA Tiga Individu Berjaya Dilahirkan

Pada seorang bayi, DNA tubuh mereka akan mengandungi gabungan DNA si ibu dan si bapa. Dalam situasi tertentu, berlaku mutasi pada DNA mitokondria ibu yang menyebabkan penyakit boleh berlaku semasa di dalam rahim atau selepas dilahirkan yang menyebabkan kematian. Mei lalu di UK, seorang lagi bayi telah dilahirkan dengan ia mempunyai gabungan DNA tiga individu.
Rawatan rawatan derma mitkondria (MDT) mengambil 37 gen daripada telur penderma yang tidak mempunyai mutasi mitokondria. Ia kemudiannya dimasukkan ke dalam embrio daripada telur ibu dan sperma bapa. Dengan MDT, mutasi mitokondria akan dapat dielakkan sekaligus mengelakkan kematian. Walaupun DNA adalah gabungan daripada 3 individu, 98% DNA bayi yang dilahirkan disumbangkan oleh ibu dan bapa sebenar.
Bayi dengan gabungan tiga DNA yang dilahirkan ini tidak didedahkan identitinya tetapi adalah yang kelima dalam sejarah perubatan. Rawatan gen MDT ini membantu pasangan yang sering keguguran kerana mutasi menyebabkan bayi mati dalam kandungan atau beberapa tahun selepas dilahirkan. Ia mungkin antara cara sains akan cuba menyelesaikan penyakit genetik yang diturunkan dari ibu bapa ke anak dalam masa terdekat.
3. Pemindahan Mata Sepenuhnya Pertama Dunia Berjaya Dilakukan

Pemindahan organ kali pertama dilakukan pada tahun 1954 dengan ia adalah sebuah ginjal. Semakin banyak organ kini boleh dipindahkan kepada penerima dan tahun ini pemindahan mata sepenuhnya pula berjaya dilakukan. Pakar dari NYU Langone Health melakukan prosedur ini Mei lalu pada Aaron James (46) yang mengalami kecederaan teruk pada wajah selepas kemalangan melibatkan voltan tinggi di tempat kerja.
Beliau menerima pemindahan wajah bersama dengan sebiji mata kiri. Prosedur pemindahan wajah dan mata ini mengambil masa 21 jam melibatkan 140 doktor, jururawat dan pakar kesihatan. Walaupun mata yang diterima kini tidak menunjukkan isu penolakan, James masih belum boleh melihat menggunakannya.
Sungguhpun begitu pakar dari NYU Langone Health berkata ia adalah langkah pertama yang positif ke arah membolehkan pemindahan mata dilakukan di masa hadapan. Tahun lalu NYU Langone Health turut berjaya memindahkan dua jantung dan ginjal babi ke tubuh manusia yang sudahkan kematian otak.
4. NASA : Suhu Musim Panas 2023 Adalah Tertinggi Dalam Sejarah

Ancaman terbesar kepada manusia selain AI mengambil alih ialah kemusnahan habitat disebabkan oleh perubahan iklim. NASA pada September lalu mengeluarkan laporan mengesahkan suhu musim panas 2023 di hemisfera utara adalah yang paling tinggi pernah dicatatkan dalam rekod sejak ia mula dikumpul pada tahun 1880.
Penyelidik dari Goddard Institute of Space Studies (GISS) mendapati suhu pada bulan Jun, Julai dan Ogos 2023 adalah 0.23°C lebih panas berbanding rekod NASA. Ia juga 1.2°C lebih panas berbanding purata suhu musim panas antara 1951 hingga 1980. Suhu di hemisfera utara kini akan kembali turun kerana kedatangan musim luruh.
Impak perubahan iklim telahpun menyebabkan 56% permukaan laut dunia berubah daripada biru menjadi hijau dan semakin banyak habitat haiwan musnah menjurus kepada kepupusan.
5. LK-99 Disahkan Bukan Superkonduktor Suhu Bilik

Pada bulan Ogos, dunia fizik digegarkan dengan dakwaan superkonduktor suhu bilik berjaya ditemukan saintis Pusat Penyelidikan Tenaga Kuantum Korea Selatan. Bahan yang diberi nama LK-99 ini menimbulkan pelbagai persoalan kerana jika benar akan menjadi jawapan kepada penghasilan sumber tenaga lestari dan kenderaan elektrik lebih efisien.
Tetapi harapan komuniti sains musnah selepas saintis dari seluruh dunia dan juga Korea sendiri mendapati LK-99 tidak dapat dihasilkan semula dengan ciri kesan Meisner serta rintangan rendah seperti yang didakwa. Pusat Penyelidikan Tenaga Kuantum Korea Selatan juga enggan menyerahkan sampel LK-99 mereka yang didakwa superkonduktor untuk diuji oleh komuniti saintifik.
Keputusan ini pastinya mengecewakan kerana usaha mencari bahan superkonduktor suhu bilik telah dilakukan sejak berdekad lamanya tanpa sebarang hasil. Superkonduktor yang digunakan sekarang dicapai pada suhu -100 darjah Celsius atau pada tekanan yang amat tinggi. Sistem penyejukan yang kompleks membuatkan peranti elektronik dengan superkonduktor mempunyai saiz yang besar.
6. Google DeepMind Menemukan 2.2 Juta Struktur Kristal Baharu Bersamaan Kajian Selama 800 Tahun

Dunia sains melompat setapak lagi dua minggu lalu dengan pengumuman Google DeepMind bahawa kecerdasan buatan (AI) Graph Networks for Materials Exploration (GNoME) telah berjaya menemukan 2.2 juta struktur kristal baharu. Yang menjadikan penemuan ini luar biasa dari sudut sains ia bersamaan dengan eksperimentasi mencari struktur kristal secara manual selama 800 tahun.
Daripada 2.2 juta struktur kristal yang ditemukan, sekitar 380,000 adalah stabil dan boleh digunakan. Menurut DeepMind 736 struktur yang diramalkan oleh GNoME telahpun dihasilkan di dunia sebenar oleh beberapa makmal yang terlibat dalam projek ini.
Susunan kristal baharu membolehkan kemajuan pada rekaan cip pemproses, semikonduktor, superkonduktor, superkomputer dan bateri yang diperlukan dalam masa terdekat. Antara yang ditemukan ialah 52,000 sebatian berlapis yang mempunyai persamaan dengan grafena yang berpotensi menjadi bahan superkonduktor. Sebanyak 528 sebatian lagi mempunyai potensi menjadi pengalir ion litium yang membuka pintu kepada penghasilan bateri lebih baik untuk kenderaan elektrik.
7. Plastik Kitar Semula Didapati Toksik Dan Tidak Selamat Untuk Digunakan

Kita diberitahu bahawa mengitar semula plastik adalah baik untuk bumi.Dengan tiada bahan terbuang, dunia yang lebih lestari dijanjikan oleh pelbagai kempen kitar semula. Tetapi saintis dari University of Gothenburg mengeluarkan kajian yang mengatakan plastik kitar semula tidak selamat untuk digunakan.
Menerusi analisa palet plastik kitar semula dari Asia, Afrika. Amerika Selatan dan Eropah Timur, mereka mendapati ia dicemari oleh bahan kimia yang majoritinya adalah toksik kepada manusia. Bahan kimia paling banyak ditemukan ialah racun perosak diikuti pula oleh bahan farmaseutikal yang terhasil ketika proses menghasilkan plastik serta ketika ia sedang dikitar semula
Penyelidik turut mengatakan tidak terdapat pemantauan yang ketat pada plastik yang dikitar semula di peringkat antarabangsa. Akibatnya plastik kitar semula yang sebenarnya toksik ini mungkin digunakan pada produk seperti bekas simpanan makanan atau mainan kanak-kanak. Mereka menyarankan supaya ditubuhkan badan pemantauan lebih ketat untuk memastikan plastik yang selamat sahaja digunakan.
8. Deposit Terbesar Litium Ditemukan Di Amerika Syarikat

Deposit logam litium yang dipercayai adalah yang terbesar dunia ditemukan di dalam sebuah gunung berapi kuno di Nevada. Logam litium ini terkurung di dalam lapisan lumpur yang dipercayai dibentuk 16 juta tahun yang lalu selepas gunung berapi ini meledak menghasilkan sebuah kaldera.
Penyelidik yang menemukan deposit ini percaya terdapat di antara 20-40 juta tan litium di kawasan ini dan ia adalah lebih besar berbanding deposit pada sebuah dataran garam di Bolivia yang memegang rekod sebagai deposit terbesar sekarang. Pada ketika ini Australia memegang 47% pengeluaran litium dunia diikuti Chile (30%) dan China (12%)
9. Singapura Hasilkan Daging Sotong Cetakan 3D Berasaskan Sayuran

Teknologi menghasilkan daging lembu, ikan, ayam dan khinzir berasaskan sayur-sayuran telah mata sejak empat tahun yang lalu. Firma Malaysia Phuture Food adalah antara yang terawal cuba memberikan cabaran kepada syarikat Impossible Meat. Kini penyelidik dari National University of Singapore (NUS) berjaya menghasilkan pula daging sotong yang diperbuat daripada sayuran menggunakan cetakan 3D.
Daging sotong berbentuk gelung yang dihasilkan mempunyai tekstur dan rasa yang sama seperti daging sotong sebenar. NUS memulakan kajian daging berasaskan sayur kerana menyedari hakikat di masa hadapan sumber makan laut akan berkurangan. Ini ialah isu yang besar bagi Singapura yang mengimport 90% bekalan makanan laut mereka.
Untuk menghasilkan sotong cetakan 3D ini, NUS menunggunkan bahan mikroalga dan kacang hijau yang dicampurkan dengan minyak berasaskan tumbuhan mengandungi asid lemak omega-3 bagi memastikan ia berkhasiat untuk dimakan. Kerana ia berasaskan sayuran, daging sotong ini boleh dimakan dengan selamat oleh mereka yang mempunyai alahan kepada makanan laut.
10. Saintis Yang Menghasilkan Dolly Si Bebiri Klon Meninggal Dunia

Pada tahun 1996 penyelidik dari Roslin Institute di University of Edinburgh mengumumkan kejayaan mengklon kambing biri-biri yang diberikan nama Dolly. Ia merupakan kali pertama dalam sejarah dunia haiwan mamalia berjaya di klon. Sir Ian Wilmut yang mengetuai pasukan yang menghasilkan Dolly telah meninggal dunia semalam pada usia 79 tahun kerana penyakit Parkinson.
Kejayaan Sir Wilmut membuka kajian sel tunjang yang kini digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti Parkison. Malang sekali sains maju dengan cukup pantas untuk Sir Wilmut melihat penyakit beliau dirawat menggunakan teknologi yang dipelopori oleh beliau sendiri.
Dolly diklon menggunakan sel mamari seekor bebiri baka Fin-Dorset dan telur seekor lagi bebiri yang digabungkan. Ini menghasilkan embrio yang kemudiannya diimplan ke dalam seekor lagi bebiri. Bebiri paling terkenal dunia ini meninggal dunia pada tahun 2003 kerana penyakit paru-paru dan ia kini dipamerkan kepada orang ramai di Roslin Institute.