Baru-baru ini ia telah dilaporkan bahawa Insomniac Games, studio pembangun permainan yang terkenal untuk permainan seperti Spider-Man, Ratchet & Clank dan sebagainya telah digodam, dengan pelbagai maklumat sulit syarikat tersebut dikatakan sedia untuk dijual.
Sebuah kumpulan yang dinamakan Rhysida mengatakan bahawa mereka yang bertanggungjawab untuk godaman tersebut, dimana mereka telah berjaya mencuri pelbagai maklumat sulit seperti emel dalaman, dokumen sulit, butiran peribadi pekerja dan sejumlah butiran tentang pelakon-pelakon suara popular.
Bukan itu sahaja, kumpulan penggodam ini juga mengatakan bahawa mereka mempunyai sejumlah tangkapan layar dan butiran-butiran mengenai sebuah permainan yang akan dibangunkan oleh Insomniac, iaitu Wolverine.

Rhysida, melalui sebuah laman web yang dibangunkan mengatakan bahawa mereka mahu menjual data yang didapati mereka ini untuk $2 juta (~RM8.5 juta) kepada satu pembeli sahaja, supaya ia lebih “eksklusif”, sekiranya pihak Insomniac atau Sony tidak membayar wang yang diminta.
Sony pula dilaporkan sedang menyiasat insiden ini untuk melihat samada benar data yang dicuri mengandungi apa yang dikatakan oleh kumpulan penggodam tersebut. Setakat ini, Sony masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai serangan siber ini.