Cari @ Amanz

Kiri, kanan, atas dan bawah kita semua tidak dapat lari dengan berita kecerdasan buatan (AI) setiap hari. Awal pagi tadi, siri cip Intel Core Ultra telah diumumkan untuk digunakan pada komputer riba dengan ia berasaskan senibina Meteor Lake.

Menerusi siri Core Ultra, penamaan cip juga berubah kepada Core Ultra 5, Core Ultra 7, dan Core Ultra 9. Setiap cip mempunyai NPU terbina bagi tujuan AI dengan Intel menjanjikan peningkatan kemampuan memproses AI generatif sehingga 70%. Penggunaan tenaga juga ditambah baik sehingga 25% berbanding cip generasi sebelum ini. Cip Intel Core Ultra dilengkapi sehingga 16 teras CPU sehingga kelajuan 5.1GHz, dilengkapi GPU Intel Arc, sokongan WiFi 7.

Cip Intel Core Ultra dikilangkan di Pulau Pinang dan merupakan yang pertahan dihasilkan menggunakan teknologi Intel 4 dan pembungkusan Foveros 3D. Intel mengesahkan cip ini akan digunakan pada lebih 230 komputer riba keluaran Acer, ASUS, Dell, Dynabook, Gigabyte, Google Chromebook, HP, Lenovo, LG, Microsoft Surface, MSI dan Samsung.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd