Setelah melancarkan sejumlah kecil siri cip pemprosesan Intel Raptor Lake Refresh beberapa bulan yang lalu dan juga siri cip Intel Core Ultra Meteor Lake, Intel juga baru membuat pengumuman untuk mengatakan bahawa mereka juga akan melancarkan sejumlah siri Intel Raptor Lake Refresh yang baru.
Model-model cip pemprosesan yang akan dilancarkan ini adalah model “non-K” yang tidak mempunyai kemampuan lewahjam seperti apa yang ditawarkan oleh model-model premium seperti Intel Core i9-14900K.
Intel dijangka akan memperlihatkan sejumlah besar model cip pemprosesan baru, termasuklah Intel Core i9-14900F, Intel Core i9-14900, Intel Core i7-14700F, Intel Core i7-14700, Intel Core i5-14400F, Intel Core i5-14400, Intel Core i3-14100 dan Intel 300.
Cip-cip pemprosesan ini dilihat hadir dengan TDP maksima 65W dan masih memperlihatkan kelajuan CPU yang laju, sebagai contohnya Intel Core i9-14900 masih hadir dengan kelajuan maksima 5.8GHz, dan Intel Core i7-14700 mempunyai kelajuan 5.4GHz.
CPU-CPU ini akan boleh digunakan bersama-sama papan induk yang menggunakan soket LGA1700 tanpa masalah. Ia dijangka bahawa cip-cip pemprosesan ini akan dilancarkan sekitar Januari 2024 kelak, tidak lama selepas acara CES 2024.