Cari @ Amanz

Intel baru sahaja melancarkan siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake mereka untuk komputer riba, dan Acer telah memperlihatkan dua buah komputer riba yang akan menggunakan cip pemprosesan ini, termasuklah Acer Swift Go 14 dan juga Acer Predator Triton Neo 16.

Bermula dengan Acer Swift Go 14, ia adalah sebuah komputer riba kelas produktiviti yang dikuasakan oleh pilihan cip Intel Core Ultra 5 125H dan Intel Core Ultra 7 155H. Ia juga tampil dengan memori LPDDR5 sebanyak 32GB dan sehingga 1TB. Ia juga hadir dengan pilihan paparan skrin 14 inci dengan resolusi 2880×1800 dengan kadar segar semula 90Hz ataupun paparan skrin sesentuh dengan resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 60Hz.

Dari segi palam, Acer Swift Go 14 dilengkapi dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan pembaca kad SD.

Untuk Acer Predator Triton Neo 16 pula, komputer riba ini akan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 185H, Intel Core Ultra 7 155H dan Intel Core Ultra 5 125H. Ia juga akan dikuasakan memori LPDDR5 sebanyak 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB.

Dari segi paparan, Predator Triton Neo 16 hadir dengan pilihan paparan bersaiz 16 inci dengan resolusi 3200×2000 dengan kadar segar semula 165Hz dan sokongan untuk teknologi NVIDIA G-SYNC, dan satu lagi ialah paparan 16 inci dengan resolusi 1920×1200.

Dari segi penawaran kad grafik pula, komputer riba ini mempunyai pilihan beberapa kad grafik, dimana yang paling berkuasa ialah NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai permainan komputer moden pada resolusi tinggi tanpa masalah.

Acer mengatakan bahawa Acer Swift Go 14 akan mula ditawarkan seawal bulan Januari 2024 di beberapa pasaran terpilih, manakala Acer Predator Triton Neo 16 akan ditawarkan pada bulan Mac 2024 kelak dengan pasaran-pasaran terpilih yang sama. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Acer Malaysia akan membawa masuk kedua-dua komputer riba ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd