Selepas 9 bulan dilancarkan, realme Malaysia akhirnya membawa masuk realme GT3 240W ke pasaran tempatan. Telefon pintar ini adalah yang pertama di dunia yang boleh dibeli oleh orang ramai dengan kemampuan mengecas peranti 0% ke 100% kurang 10 minit. Ia juga adalah peranti realme pertama dengan rekaan lutsinar serta dengan sokongan RGB.

realme GT3 240W menggunakan skrin 6.74″ AMOLED 1.5K (2772 x 1240), menyokong kadar segar semula 144Hz, dijana cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X + 12GB RAM maya dan juga storan dalaman 1TB UFS 3.1. Konfigurasi kamera peranti ini adalah 50MP sudut lebar + 8MP sudut ultra lebar + 2MP mikroskop dengan kamera swafoto 16MP. Bateri peranti pula adalah 4600mAh dengan pengecasan pantas 240W, di mana pengecas yang disediakan adalah jenis GaN + kabel 12A USB-C ke USB-C.

Peranti ini turut didatangkan dengan bonggol kamera hampir rata sepenuhnya. Di sebelahnya terdapat tingkap memaparkan lokasi cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang dikelilingi dengan sistem RGB Pulse Interface Design yang boleh berubah warna seperti pemasa kamera, notifikasi, mod gaming atau juga untuk pengecasan. Peranti ini menjalankan sistem operasi realme UI 4.0 berasaskan Android 13 yang menggunakan kod pembangunan sama dengan ColorOS serta OxygenOS.

Di Malaysia, realme menawarkan dua pilihan warna iaitu Racing Purple dan juga Pulse White. Harga jualan adalah RM2,799 dan terhad kepada satu varian sahaja iaitu 16GB RAM + 1TB. Peranti ini sudah pun boleh ditempah sejak 12 Disember lalu dan akan tamat esok, 21 Disember. Mereka yang menempah dengan deposit RM30 akan membawa pulan Realme TechLife Air Purifier Pro, sementara yang membayar deposit RM50 akan membawa pulang kotak hadiah istimewa, Realme Buds T100 Earbuds dan realme TechLife Air Purifier Pro.