Carian
MSI
MSI Memperkenalkan SSD SPATIUM M570 Pro FROZR Dengan Kelajuan Pembacaan Data 12.4GB/s
December 20, 2023 Nazrin

Kini sudah tiba masanya untuk jenama-jenama pembuat storan terkemuka untuk memperkenalkan penawaran SSD PCIe 5.0 mereka, dan MSI, sebagai sebuah jenama komponen komputer yang terkemuka, baru-baru ini telah memperlihatkan penawaran storan MSI SPATIUM M570 Pro FROZR mereka yang tampil dengan kelajuan pembacaan dan penulisan data yang sangat pantas sekali.

MSI SPATIUM M570 Pro FROZR tampil dengan penawaran storan 1TB, 2TB dan 4TB dan menggunakan pengawal SSD Phison E26 yang membolehkan SSD ini untuk hadir dengan kelajuan pembacaan data setinggi 12.4GB/s dan kadar penulisan data sepantas 11.8GB/s.

Seperti kebanyakan SSD yang ditawarkan oleh MSI juga, SPATIUM M570 Pro FROZR hadir dengan bongkah penyejukan pasif yang mengalirkan haba dari cip-cip storan di SSD ke komponen penyejuk untuk memastikan bahawa storan ini akan beroperasi pada kadar optimum, dan prestasinya tidak terhad kepada suhu komponen-komponen ini.

MSI mengatakan bahawa dengan penyejuk pasif FROZR ini, mereka mampu mengurangkan suhu operasi SSD ini sebanyak 20 darjah Celcius, membolehkannya untuk beroperasi pada kelajuan tinggi untuk jangkamasa yang lama.

Buat masa ini, MSI masih lagi belum mengesahkan tarikh dan juga harga jualan untuk SSD MSI SPATIUM M570 Pro FROZR ini.

Komen