Aplikasi pelayar web popular Google Chrome sedia menyokong mod gambar-dalam-gambar (PIP) yang membolehkan video dikecilkan dalam tingkap terapung agar pengguna masih boleh melayari web sambil video dimainkan serentak.
Terbaru, Chrome dilihat telah mengembangkan ciri PIP ini untuk semua laman web pula dan tidak terhad untuk tontonan video sahaja. Walaupun begitu, ciri ini hanya boleh digunakan jika pelayar web Chrome ditetapkan sebagai aplikasi lalai dan pautan dibuka melalui aplikasi yang menawarkan pelayar web dari dalam aplikasi seperti X (Twitter) atau Telegram.

Aneh sekali, walaupun ciri ini telah diberikan kepada semua pengguna stabil ia tidak diaktifkan secara lalai dan disembunyikan di dalam tetapan flags pada Chrome. Untuk menggunakan ciri ini, buka aplikasi Chrome pada peranti Android, buka chrome://flags, cari cct-minimized dan hidupkannya, lancarkan semula Chrome kemudian nikmati ciri multi-tugasan ini.
Ciri ini turut tidak memaparkan kandungan laman web dalam tetingkap terapung tetapi hanya alamat URL dan judul kandungan. Boleh dikatakan ia adalah seakan tab pada Chrome yang terapung sahaja.