Mercedes sedia membangunkan teknologi swapandu mereka tersendiri, dinamakan Mercedes Drive Pilot, dan kini dibenarkan untuk digunakan di beberapa negeri di Amerika Syarikat. Selari dengannya juga, pihak Mercedes menambah sebuah lampu tambahan pada kenderaan keluaran mereka, bertujuan memberikan petanda apabila kereta sedang swapandu.
Lampu berwarna biru firus (turqoise) ditambah pada bahagian belakang dan juga hadapan – memberikan petanda yang mana kereta berkenaan sedang dalam mod swapandu.
Lampu biru firus ini dipilih memandangkan ia tidak sama dengan sebarang warna lampu lain – dan turut berbeza dengan lampu biru pada siren kenderaan kecemasan. Lampu ini memberikan petanda untuk pengguna lain termasuk pihak berkuasa mengetahui dengan mudah berkenaan mod pemanduan sesuatu kenderaan.
Dibawah mod Mercedes Drive Pilot yang akan ditawarkan di Nevada dan California melalui kenderaan Mercedes S-class dan EQS, ia akan membolehkan pengguna menggunakan sistem swapandu yang bukan sahaja memberikan kebebasan mengalihkan kaki dan tangan dari sistem pemanduan (seperti pedal minyak dan stering), tetapi juga mengalihkan pandangan untuk melakukan perkara lain. Ini sekaligus menjadikan sistem Mercedes ini lebih baik berbanding sistem swapandu yang lain – membolehkan pengguna melakukan tugasan lain sementara ingin ke destinasi.
Sistem swapandu Mercedes ini boleh digunakan ketika kesesakkan lalu-lintas dan di beberapa lebuhraya terpilih apabila bergerak pada kelajuan dibawah 64km/j. Di luar lebuhraya Nevada dan California, sistem swapandu berkenaan tidak boleh digunakan.