Pemasangan kamera dashcam dalam kereta semakin meningkat akhir-akhir ini kerana memudahkan proses melakukan tuntunan insurans apabila terlibat dalam kemalangan. Ia juga kini membantu polis menyelesaikan kes jenayah dengan video rakaman diminta bagi menyelesaikan kes pembunuhan Zayn Rayyan. Menyedari hakikat ini, kamera PhoneCam telah dibangunkan oleh firma Slimdesign dari Belgium.

PhoneCam ialah kamera kecil yang disematkan pada baju. Apabila berhadapan dengan situasi yang dirasakan membahayakan keselamatan peribadi, pengguna boleh menekan butang rakaman. Lampu akan menyala sebagai amaran kepada insan yang ingin menyerang mereka bahawa mereka sedang dirakam.
Sekiranya ia masih gagal meredakan situasi, butang rakaman perlu ditekan sekali lagi yang kemudiannya menyimpan video terus ke storan awanan. Dengan ini sebarang video jenayah atau kecemasan yang dirakam tidak boleh dipadam daripada PhoneCam.

Ia kemudiannya boleh digunakan sebagai bukti untuk kes di mahkamah. Pada waktu sama insan yang disenaraikan sebagai kontak kecemasan akan diberitahu bahawa pemakai PhoneCam berada dalam situasi berbahaya lengkap dengan lokasi GPS terakhir.
PhoneCam dijual pada harga sekitar RM320 dengan langganan bulanan sekitar RM19 untuk storan awanan dan sambungan selular 5G.