nubia Z60 Ultra adalah satu lagi peranti mercu dengan cip Snapdragon 8 Gen 3. Ia dilancarkan di China beberapa minggu lepas dan kini ia disahkan akan memasuki pasaran tempatan pada 25 Disember ini. Menariknya, Z60 Ultra akan menjadi peranti Snapdragon 8 Gen 3 paling murah setakat ini kerana harga jualan bermula dari RM2,899.
Peranti ini menggunakan skrin OLED 6.8-inci beresolusi 1.5K, menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan mencapai 1500 nits. Cip Snapdragon 8 Gen 3 pada peranti ini dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB. Untuk kamera, Z60 Ultra menggunakan konfigurasi dengan teknologi NeoVision 50MP sudut lebar + 50MP sudut ultra lebar + 64MP telefoto periskop 3x zum optikal dan 12MP untuk kamera swafoto di bawah skrin.
Bateri peranti adalah 6000mAh dengan teknologi silikon-karbon dengan pengecasan pantas 80W. Z60 Ultra turut menyokong WiFi 7, Bluetooth 5.4, dan mempunyai perlindungan IP68. Cukup menarik untuk melihat nubia menawarkan peranti mercu mereka yang paling berkuasa di Malaysia.
Terdapat dua warna ditawarkan iaitu perak dan hitam. Varian yang boleh dibeli adalah 12/256 GB pada harga RM3,499 dan 16/512 GB pada harga RM4,299. Sempena pelancaran 25 Disember sehingga 24 Januari ini, nubia Z60 Ultra boleh dibeli pada harga RM2,899 dan RM3,499.
Perlu diingatkan yang nubia Z60 Ultra ini adalah set import versi global dan bukannya set rasmi Malaysia kerana peranti ini tidak didaftarkan di dalam SIRIM. Wakil ZTE Malaysia turut memberitahu kami yang peranti ini bukan daripada mereka dan tidak diedarkan oleh pihak ketiga, bukannya pengedar sah.