Cari @ Amanz

Awal minggu ini saya berkesempatan menyertai konvoi media Jelajah EV Malaysia anjuran Persatuan Kenderaan Beremisi Sifar (ZEVA- Zero Emission Vehicle Association). Persatuan ini merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang ingin memasyhurkan penggunaan kenderaan elektrik bagi mengurangkan pelepasan karbon, dari pembangunan polisi sehinggalah kepada penerimaan masyarakat dan pelbagai lagi. Konvoi ini yang turut dijayakan dengan pelbagai rakan kerjasama, antaranya TNB, Gentari, Yinson GreenTech, Go To-U, EON, Go Auto, PEKEMA, telah melakukan perjalanan sejauh 827km dari Bangsar, sehingga Tanjung Kuala Paka, berehat di Teluk Cempedak dan pulang semula ke Bangsar.

Meskipun saya telah biasa menggunakan skuter elektrik dan mungkin sudah terbiasa dengan sedikit sebanyak perancangan untuk mengecas skuter tersebut, ini merupakan pertama kali saya memandu kereta elektrik untuk jarak jauh dan untuk keseluruhan konvoi ini, saya telah memandu tiga kereta elektrik berbeza untuk beberapa sektor perjalanan iaitu dari Bangsar ke kawasan Rehat & Rawat Paka, dari kawasan Rehat & Rawat Paka ke Teluk Cempedak, dan disusuli keesokan hari dari Teluk Cempedak pulang ke Bangsar. Kereta yang saya pandu adalah Hyundai IONIQ 6 dan IONIQ 5 dari Sime Darby Auto Hyundai, dan BYD Atto 3 dari Gentari.

Tujuan konvoi ini diadakan bersama media adalah bagi memberikan pengalaman perjalanan jauh untuk kereta elektrik, dan turut memberikan pendedahan dengan teknologi yang berkait dengan industri kenderaan elektrik. Perkara seperti corak dan gaya pemanduan, kegusaran perjalanan (range anxiety), teknologi pengecasan serta perayauan pelan pengecasan (charging roaming), turut dikongsikan sepanjang konvoi ini. 

Bangsar ke Kawasan Rehat & Rawat Paka – Hyundai IONIQ 6

Bertolak dari ibu pejabat TNB di Bangsar, saya telah dipinjamkan Hyundai IONIQ 6 MAX RWD dan saya memandu kereta ini dari Bangsar sehingga Gambang, dengan persinggahan sebentar di Petronas Bentong. Dari Bangsar ke Petronas Bentong sejauh 56.6km, dari bateri penuh 100% saya hanya menggunakan 10% kuasa bateri dengan kadar tenaga bateri yang digunakan pada kadar 14.5 kWh/100km dan masih mempunyai baki 90%. Oleh kerana perjalanan menaiki dan menuruni bukit, selepas dari Genting Sempah saya berjaya mendapatkan semula 3-4% tenaga bateri, dengan menukar tahap ‘pembrekkan janaan semula’ (regenerative braking) IONIQ 6 dari tahap 2 kepada 3, mengikut keadaan. 

Meneruskan perjalanan dari Petronas Bentong ke Petronas Gambang sejauh 134.4km, saya telah menggunakan sebanyak 25% kuasa bateri, iaitu dari 90% menjadi 65% dengan kadar tenaga bateri yang digunakan pada kadar 14.9 kWh/100km. Jalan raya yang lebih rata, lurus dan landai dari Bentong ke Gambang membuatkan saya memandu lebih laju dan menggunakan kuasa yang lebih. Malah memandangkan tidak banyak situasi menuruni bukit, saya juga tidak menjana semula sebarang tenaga dalam perjalanan ini. Konvoi bersinggah seketika di Petronas Gambang bagi memberikan laluan kepada beberapa kenderaan elektrik lain untuk mengecas sebentar menggunakan pengecas Gentari 180kW. 

Seterusnya perjalanan dari Petronas Gambang ke Kawasan Rehat & Rawat Paka telah dikemudikan oleh rakan sekerja saya Andrew dari Nextrift namun salah satu perkara yang baru saya pelajari adalah bagaimana hujan boleh mempengaruhi jarak perjalanan kenderaan elektrik. Bergantung kepada tahap hujan, ia mampu mengurangkan jarak perjalanan kerana hujan boleh menyebabkan penggunaan tenaga meningkat sekitar 3-5% . Namun begitu, memandangkan Hyundai IONIQ 6 direka dengan mementingkan aerodinamik, penggunaan tenaga masih tidak terlalu tinggi dan untuk perjalanan sejauh 142.2km ini telah menggunakan tenaga bateri pada kadar 15.6 kWh/100km dengan bateri berbaki 33% dari 65%. Sehingga lokasi ini, jarak perjalanan adalah sejauh 333.2km

Pengecas DC Rehat & Rawat Paka (Menghala Barat) Dijangka Akan Beroperasi Seawal Suku Kedua 2024

Di Kawasan Rehat & Rawat Paka (Menghala Timur), kereta ini telah dicaj semula menggunakan perhentian TNB Electron, dengan sistem yang mengoperasikan pengecasan adalah dari Go To-U. Stesen TNB Electron Paka ini merupakan stesen pengecasan DC yang terakhir sepanjang Lebuhraya Pantai Timur bagi mereka yang menghala ke Kelantan. Ia mempunyai kapasiti pengecasan 180kW dan menurut TNB, pada kadar tersebut ia adalah bersamaan dengan 60 buah rumah kecil yang mempunyai sistem 3kW. 

Pihak TNB turut berkongsi sedikit sebanyak mengenai perancangan mereka tahun hadapan, dan pengecasan DC untuk Kawasan Rehat & Rawat Paka (Menghala Barat) dijangka akan tersedia sekitar suku kedua tahun 2024. Ini merupakan salah satu lokasi pengecasan yang sangat diperlukan oleh pengguna dari Pantai Timur kerana kebanyakan masa pengguna dari Kelantan atau Kuala Terengganu, akan berhenti mengecas di Kuantan, dan dengan pengecas DC Paka Menghala Barat ini pasti membolehkan pengguna untuk tidak perlu keluar dari Lebuhraya Pantai Timur.

Kawasan Rehat & Rawat Paka ke Teluk Cempedak – Hyundai IONIQ 5

Untuk sektor perjalanan seterusnya, kami telah dipinjamkan Hyundai IONIQ 5 Max dan telah menelusuri perjalanan sejauh 226 km untuk menuju ke Teluk Cempedak, dengan persinggahan di Muara Sungai Paka. Namun begitu disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, dan risiko banjir, kami banyak menggunakan lebuh raya untuk sektor perjalanan ini. 

Kami meneruskan perjalanan ke persinggahan seterusnya iaitu stesen pengecasan ChargEV di Indera Mahkota, Pahang. Di lokasi ini terdapatnya pengecas DC 120 kW dan juga terdapat pelbagai tarikan lain berhampiran seperti kedai kopi, restoran, dan juga pusat membeli-belah. Lokasi yang strategik ini dapat memastikan pengguna yang sedang mengecas kenderaan mereka dapat melakukan perkara lain sementara menunggu pengecasan dilakukan.

Teluk Cempedak ke Bangsar – BYD Atto 3

Perjalanan pulang keesokan harinya adalah dengan menggunakan BYD Atto 3 Standard Range dengan tenaga bateri penuh 100% dengan jarak perjalanan sekitar 400km NEDC / 345km WLTP. Buat pertama kalinya dalam keseluruhan perjalanan ini, saya dihambat kegusaran perjalanan (range anxiety) kerana kadar bateri yang menurun pantas dan jarak perjalanan juga berkurang dengan cepat. Saya dan Andrew memandu dengan corak pemanduan yang hampir sama seperti hari sebelumnya, namun jelas sekali terpaksa berwaspada kerana ia dilihat menggunakan tenaga yang lebih dan memandu lebih perlahan apabila melewati kawasan Rehat & Rawat Temerloh.

Saya berhenti untuk mengecas di Petronas Genting Sempah menggunakan pengecas Gentari DC 24kW. Tenaga yang tinggal pada waktu tersebut adalah 13% dengan jarak perjalanan 207km dan kadar penggunaan tenaga adalah 15.8kWh/100km. Mungkin bagi anda yang berpengalaman, mungkin anda akan menyatakan 13% dari Genting Sempah ke Bangsar adalah mencukupi namun memandangkan ini baru kali ke-3 saya memandu kereta EV, dan kali pertama memandu BYD Atto 3, saya tidak mengambil risiko tersebut, dan meluangkan masa makan tengahari selama 48 minit bagi mengecas kereta tersebut sehingga bateri mencapai 43% sebelum meneruskan perjalanan pulang. Harga pengecasan untuk tempoh tersebut adalah RM 24 kerana pengecas tersebut mengenakan kadar bayaran RM 0.50 seminit. 

Apa Itu Perayauan Pengecasan

Menggunakan pengecasan Gentari, terdapat satu istilah dikalangan penyedia pengecasan kenderaan elektrik iaitu ‘perayauan pengecasan’ (charging roaming). Asalnya, perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik adalah terasing, dan memerlukan pengguna mempunyai aplikasinya tersendiri. Seperti TNB Electron, ia memerlukan pengguna menggunakan aplikasi Go To-U, yang turut mempunyai pengecas di Cyberjaya. Perayauan pengecasan adalah apabila anda melanggan kepada satu penyedia pengecas tertentu, namun anda masih boleh menggunakan pengecas yang disediakan syarikat lain.

Bermula Jun 2023, Gentari, JomCharge, dan ChargEV bekerjasama untuk membolehkan perayauan pengecasan dilakukan, dan untuk proses pengecasan di Genting Sempah ini, saya telah menggunakan aplikasi ChargEV bagi mengaktifkan pengecas Gentari dan turut melakukan pembayaran menerusinya. Buat masa ini tidak banyak lagi penyedia pengecasan yang membolehkan perayauan pengecasan dilakukan, namun ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa. 

Kesimpulan

Pengembaraan sejauh 827km ini jelas sekali telah mendedahkan saya kepada beberapa perkara. Pertamanya terdapat perbezaan diantara sistem ramalan perjalanan dan juga piawaian jarak yang dinyatakan pengeluar. Sewaktu saya memandu Hyundai IONIQ 5 dan IONIQ 6, saya tidak merasakan apa-apa kegusaran, mungkin kerana masih mempunyai jarak yang cukup dengan ukuran WLTP menjadi penanda. Namun ini jauh berbeza apabila memandu BYD Atto 3 yang memaparkan ukuran NEDC dan dilihat bagaikan menggunakan lebih banyak tenaga serta menyuntik kegusaran perjalanan apabila bateri berbaki 13% di Genting Sempah. 

Seperkara lagi pada pemerhatian saya adalah keselesaan dan kecanggihan yang kereta elektrik tawarkan yang biasanya wujud pada kereta mewah. Tanpa sebarang bunyi enjin, dan dengan tayar khas yang dibangunkan untuk kenderaan elektrik, pemandu pastinya tidak merasakan mereka lebih laju dari kebiasaan dan disini pentingnya kelengkapan canggih seperti kebolehan untuk mengikut halaju kereta hadapan (Adaptive Cruise Control) yang turut menaikkan tahap ‘kepintaran’ sebuah kenderaan elektrik. Malah dari segi pecutan, kereta elektrik menawarkan kuasa pecutan menyamai kereta berprestasi tinggi yang biasanya dijual mencecah harga jutaan ringgit, dan ini membuatkan kebanyakan pemilik kereta elektrik berasa kereta ini lebih seronok untuk dipandu.

Sungguh dua hari perjalanan sejauh 827 km ini walau tidak cukup jauh dan panjang, namun sedikit sebanyak memberikan pengalaman penggunaan kereta elektrik jarak jauh. Dan untuk pengguna Pantai Timur, perlunya lebih banyak pengecasan DC disepanjang lebuhraya bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengecas yang terhad. Ini kerana sewaktu konvoi ini berlangsung dengan 7-10 kereta elektrik, setiap kereta boleh dikatakan mengambil masa sekitar 30-40 minit untuk mencapai tahap pengecasan 80%, dan sekiranya pengecas DC tidak disediakan dengan lebih cepat, akan timbul cabaran ketersediaan pengecasan sewaktu musim perayaan kelak pemandu-pemandu kereta elektrik yang mudah dihambat kegusaran perjalanan perlu melakukan perancangan tambahan bagi memastikan mereka dapat sampai ke destinasi yang dituju. 

Namun begitu saya juga berpendapat yang mana kegusaran perjalanan akan berkurang seiring pertambahan pengecasan tanpa mengira jenis AC atau DC, dan akan juga berkurang apabila pemandu semakin biasa dengan kenderaan elektrik mereka. Tahun ini telahpun menampakkan potensi besar dengan pertambahan pemilikan kenderaan elektrik, maka tahun hadapan pastinya bakal melihatkan pertumbuhan lebih pesat industri kenderaan elektrik ini. 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd