Kita di minggu terakhir 2023 dan ia adalah masa terbaik senarai peranti terbaik Amanz 2023 diumumkan kepada pembaca. Secara keseluruhan 137 ulasan telah diterbitkan dan 60 daripadanya adalah telefon pintar. Telefon pintar manakah yang terbaik? Kita mulakan dahulu dengan kategori telefon bawah RM1000.
Kita mulakan dahulu dengan Peranti Terbaik Amanz 2023 pada harga bawah RM1000 kerana dengan ekonomi yang masih terumbang ambing dan bila-bila sahaja boleh kacau bilau, terdapat ramai yang tidak mahu berbelanja besar. Oleh itu peranti bawah RM1000 dianggap sebagai pembelian yang tidak begitu mendatangkan impak yang besar terhadap dompet berbanding kategori yang lain.
Kriteria Pemilihan
- Harga mesti di bawah RM1000 sebelum promosi.
- Skrin sebesar 6-inci dan ke atas.
- Prestasi masih memuaskan walaupun cip kelas permulaan
- Menggunakan sekurang-kurangnya Android 12
- Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia tahun 2023.
Tempat Ketiga – Realme 10 4G

Pada harga RM999, Realme 10 4G hampir-hampir tidak layak untuk disarankan dalam kategori ini. Memang sedikit lebih mahal berbanding C55 tetapi ada sebab mengapa anda perlu membayar lebih. Pertama sekali skrin Super AMOLED 90Hz yang lebih baik berbanding pesaing yang masih menggunakan LCD. Di bawah cahaya mentari skrin masih boleh dilihat dengan jelas.
Ini dipadankan dengan cip MediaTek Helio G99 yang lebih berkuasa berbanding dua peranti di atas. Kuasa pada GPU dipertingkatkan sedikit pada G90 walaupun teras CPU masih lagi sama dengan G88. Yang memberikan kelebihan lain ialah memori 8GB RAM yang boleh ditambah sehingga 16GB secara maya serta penggunaan storan UFS 2.2 yang lebih pantas. Bateri 5000 mAh tahan lama dengan pengecasan 33W. Kekurangan ialah ia masih menggunakan Android 12.
Spesifikasi: 6.4” SAMOLED FHD+ 90Hz, MediaTek Helio G99 (6nm) (2X Cortex-A76 2.2 GHz + 6X Cortex-A55 2.0 GHz), Mali-G57 MC2, 8GB RAM, storan sehingga 128GB, 50+2 MP (Utama), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (33W), Android 12.
Harga: RM999 (8/128GB)
Tempat Kedua – Tecno Pova 5

Di tempat kedua ialah Tecno Pova 5 yang merupakan yang pertama keluaran Tecno berjaya memasuki senarai tiga peranti terbaik di penghujung tahun. Peranti dilengkapi skrin 6.78″ IPS LCD 120Hz, dijana cip MediaTek Helio G99, memori sehingga 16GB RAM (secara maya) dan storan sehingga 256GB.
Baterinya sebesar 6000 mAh yang bertahan lama dan menyokong pengecasan 45W yang lebih pantas berbanding yang digunakan pasa iPhone. Sistem operasi yang digunakan pula ialah Android 13 maka pemilik mendapat ciri terkini. Ia juga mempunyai speaker stereo serta bicu audio 3.5mm. Ia mengalahkan Realme 10 4G kerana dengan spesifiksi yang sama ia ditawarkan pada harga yang lebih murah.
Spesifikasi: 6.78” IPS LCD FHD+ 120Hz, MediaTek Helio G99 (6nm) (2X Cortex-A76 2.2 GHz + 6X Cortex-A55 2.0 GHz), Mali-G57 MC2, 8GB RAM, storan 256 GB, 50+AI MP (Utama), 8MP (Swafoto), 6000 mAh (45W), Android 13.
Harga: RM699 (8/256GB)
Juara – iQOO Z7X

iQOO Z7X ialah juara kategori bawah RM100 kerana ia dijual pada harga RM999 untuk versi 8/128GB dan hadir dengan sokongan 5G tidak seperti dua peranti di atas. Selain 5G, ia juga dilengkapi cip Snapdragon 695 yang berkuasa dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan 128GB UFS 2.2 yang pantas untuk kelas ini.
Memori boleh ditambah sehingga 16GB secara maya apabila diperlukan. Kekuatan Z7X ialah bateri gergasi 6000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 80W yang seingat kami tidak pernah ditawarkan pada peranti bawah RM1000. Oleh sebab inilah iQOO Z7X kami nobatkan sebagai juara.
Spesifikasi: 6.64” IPS LCD FHD+ 120Hz, Snapdragon 695 (6nm) (2X Cortex-A75 2.0 GHz + 6X Cortex-A55 1.8 GHz), Adreno 619, 8GB RAM, storan 128GB, 50+?MP (Utama), 8MP (Swafoto), 6000 mAh (80W), Android 13.
Harga: RM999 (8/128GB) , RM1099 (8/256GB)
Baiklah ini ialah senarai peranti-peranti terbaik Amanz bawah RM1000 untuk tahun 2023 . Untuk peranti lain dalam kelas boleh-lipat, mercu, premium pertengahan dan nilai terbaik, sila kembali ke Amanz esok kerana kami akan menerbitkan senarai baharu setiap hari.