Cari @ Amanz

Lenovo dijangka akan memperlihatkan sejumlah komputer riba baru di acara CES 2024 yang akan berlangsung di Las Vegas pada awal Januari 2024 ini. Salah satu komputer riba yang nampaknya akan mendapat tumpuan ialah Lenovo ThinkBook 14+ yang telah tertiris ke platform media sosial Weibo baru-baru ini.

Lenovo ThinkBook 14+ dijangka ialah sebuah komputer riba kelas produktiviti yang akan dikuasakan oleh pilihan CPU terbaru AMD dan juga Intel. Keunikannya dilaporkan hadir pada sebuah palam baru yang akan digunakan, yang dinamakan OCulink ataupun Optical-Copper Link.

Palam OCulink ini secara ringkasnya ialah sebuah palam baru yang dikatakan adalah sebuah alternatif kepada penggunaan palam Thunderbolt pada peranti-peranti komputer. Ia menggunakan jalur PCIe untuk menyambungkan aksesori luaran kepada komputer, dan boleh dimanfaatkan dalam sejumlah besar cara.

Palam OCulink sebelum ini digunakan pada beberapa peranti gaming padat yang dibuat di China, dan digunakan untuk membolehkan pengguna menyambungkan kad grafik luaran pada peranti gaming ini.

Kelebihan palam OCulink ini apabila digunakan dengan aksesori seperti kad grafik luaran ialah ia memperlihatkan jumlah lengah masa yang lebih rendah berbanding dengan Thunderbolt yang perlu berkomunikasi dengan komponen CPU. Dalam pada itu, ia juga boleh digunakan dalam pelbagai jenis konfigurasi, tidak kira untuk komputer riba ataupun desktop, bergantung kepada modul OCulink yang digunakan.

Ini juga berguna untuk komputer riba ini yang akan hadir dengan pilihan CPU AMD dan juga Intel, yang bermakna bahawa ia boleh dimanfaatkan tidak kira konfigurasi CPU anda. Buat masa ini, tidak banyak butiran yang diketahui mengenai komputer riba Lenovo ThinkBook 14+ ini, tetapi kami jangkakan bahawa Lenovo akan memperlihatkan lebih banyak butiran di acara CES 2024 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd