Cari @ Amanz

Jika anda berkecimpung didalam dunia perkomputeran, anda pasti tahu ataupun pernah dengar tentang Moore’s Law. Dibentangkan oleh salah seorang pengasas Intel, Gordon Moore, Moore’s Law menyatakan bahawa jumlah transistor untuk sebuah cip pemprosesan akan meningkat dua kali ganda setiap dua tahun.

Perkara ini dilihat benar untuk sejumlah masa yang lama, tetapi kebelakangan ini Moore’s Law semakin sukar untuk diikuti kerana untuk jumlah transistor meningkat, ia bergantung sangat berat terhadap sejumlah faktor, termasuklah proses binaan cip semikonduktor dan sebagainya.

Berucap di MIT, Pat Gelsinger, CEO Intel baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa Moore’s Law masih lagi boleh digunapakai, tetapi telah mengatakan bahawa masa penggandaan jumlah transistor didalam sebuah cip semikonduktor sudah semakin meningkat, dari setiap dua tahun ke setiap tiga tahun.

Terdapat ramai pihak yang mengatakan bahawa Moore’s Law sudah tidak boleh digunapakai lagi kerana proses menggandakan jumlah transistor pada sebuah cip semikonduktor adalah semakin sukar untuk dilakukan khususnya dengan ruang diantara transistor adalah semakin sedikit dan saiz transistor sendiri juga tidak banyak berubah sehingga kini.

Walaupun begitu, Pat Gelsinger mengatakan bahawa Intel mempunyai pelan untuk mempercepatkan semula kadar peningkatan jumlah transistor ini kembali ke setiap dua tahun dengan menggunakan proses pempakejan cip pemprosesan 2.5D dan 3D seperti Foveros dimana transistor-transistor ini dipasang secara bertindih untuk membolehkan lebih banyak komponen ini dipasang didalam satu cip semikonduktor.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd