Penghujung tahun ialah masa yang kami rasakan terbaik untuk membeli telefon pintar baharu. Banyak pengeluar akan menawarkan potongan harga yang besar. Ada juga peranti baharu dengan spesifikasi yang baik ditawarkan pada harga yang lebih kompetitif. Honor X7b jatuh ke dalam kategori kedua kerana harga jualannya hanya RM799 selepas mula dijual minggu lalu. Adakah berbaloi atau anda harus beli sahaja tiga telefon bawah RM1000 yang kami akan sarankan kelak? Ini ulasan pantas untuk Honor X7b.
SPESIFIKASI
Honor X7b | |
---|---|
Skrin | 6.8″ TFT LCD, FHD, 90HZ |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 680 (6nm) |
Cip | 4 X 2.4 GHz Cortex-A73 4 X 1.9 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Adreno 610 |
RAM | 8GB LPDDR4X 8GB Maya |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 2.2 Mikro SD 1TB |
Kamera Utama | 108MP, f/1.8 (Sudut Lebar) 5MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP, f/2.4 (Kedalaman) |
Kamera Swafoto | 8MP f/2.0 |
Bateri | 6000 mAh Pengecasan berwayar 35W |
SIM/Telefoni | Nano/4G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Jari Sisi Wajah |
Harga Jualan | RM 799 (8/256 GB) |
SKRIN
Skrin 6.8″ adalah dari jenis TFT LCD, resolusi FHD+ dan kadar segar semula yang 90Hz. Kadar segar semula ialah dinamik antara 60Hz atau 90Hz bergantung kepada situasi. Ia bukanlah skrin yang kami boleh katakan bagus kerana dari keluarga TFT yang memberikan pengalaman sudut pandangan yang tidak begitu menakjubkan, warna yang sederhana sahaja dan tidak begitu jelas di bawah matahari yang terang. Dalam kategori peranti mampu milik ini ialah jenis skrin yang digunakan bagi mengurangkan kos.
Tiada sokongan HDR dan apabila memainkan aplikasi Netflix tiada juga sokongan penstriman HD. Sentuhan dikesan dengan baik dan kadar segar semula 90Hz adalah memadai untuk majoriti situasi. Kadang kala sahaja terasa seakan tersekat-sekat terutamanya apabila aplikasi berat digunakan di latar belakang.
Bezel pula hanya besar di bahagian bawah yang kami rasakan tidak begitu menonjol. Skrin tidak akan memenangi sebarang anugerah “terbaik” dalam mana-mana kategori tetapi ia juga tidaklah teruk sehingga merosakkan pengalaman menonton video.
BIOMETRI
Pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa di sebelah kanan bingkau. Permukaan butang kuasa yang besar dan rata memudahkan jari dikesan dengan pantas. Sepanjang tempoh ulasan lebih seminggu kami tidak mengalami isu jari gagal dikesan. Sistem imbasan wajah juga disertakan dan seperti imbasan jari menyahkunci dengan pantas. Dalam keadaan gelap skrin akan menyala bagi membolehkan wajah diimbas. Kadang kala sahaja berlaku kegagalan.
REKAAN
Rekaan tubuh adalah agak generik kerana sama sahaja dengan beberapa peranti Oppo, Realme dan OnePlus yang ulas tahun ini. Mungkin kerana menggunakan OEM yang sama. Skrin rata dipadankan dengan bingkai logam sisi rata serta panel plastik di bahagian belakang. Kami tak rasakan ia membuatkan peranti terasa murah cuma tiada keunikan berbanding peranti lain di pasaran.
Pada sisi kanan terdapat juga butang laras audio sementara pada sisi kiri pula diletakkan talam dwi SIM nano yang turut menempatkan sebuah slot untuk kad mikroSD sehingga 1TB. Hanya satu SIM boleh digunakan jika kad mikroSD digunakan. Di bahagian bawah terdapat satu port pengecasan USB-C, bicu audio 3.5mm dan salah satu kekisi speaker stereo. Sebuah lagi kekisi diletakkan pada gagang telingan di bahagian atas.
Dua bonggol sederhana besar dan tidak begitu tinggi menempatkan sistem trikamera 108+5+2 MP. Panel plastik di belakang mempunyai corak seakan batu marmar yang mudah kotor. Pada sudut tertentu dapat dilihat seakan kesan hologram dengan warna pelangi yang cantik. Honor memberikan sebuah kerangka polikarbonat yang melindungi panel belakang daripada kekotoran dan kerosakan.
Walaupun tubuh peranti adalah rata, X7b masih selesa di dalam tangan kerana tubuhnya yang agak nipis. Mengejutkan tubuh peranti adalah nipis dan ia juga tidak begitu berat walaupun dilengkapi bateri sebesar 6000 mAh.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN
Sistem operasi MagicOS 7.2 berasaskan Android 13 digunakan maka ia tidak ada banyak bezanya dengan sistem operasi yang digunakan kami pada Magic Vs (cuma tiada ciri untuk peranti skrin boleh-lipat sahaja). MagicOS 7.2 beroperasi dengan lancar walaupun cip Snapdragon 680 yang digunakan telah berusia hampir dua tahun.
Sistem Honor RAM Turbo membolehkan sehingga 8GB RAM lagi ditambah secara maya memberikan potensi sehingga 16GB RAM digunakan oleh pemilik. Aneh sekali jumlah RAM Turbo yang boleh digunakan tidak boleh diubah. Tetapan untuk mematikannya juga tidak kami temui.
Terdapat ciri standard Multi Windows, menggunakan peranti dengan satu tangan, gestur, mod memandu dan mod ebuku. Sebagai sebuah peranti kelas permulaan, ciri tambahan yang ditawarkan Honor pada peranti ini tidaklah begitu mewah.
Ciri tambahan yang diberikan oleh MagicOS 7.2 ialah.
- Multi Window – Lancarkan dua aplikasi serentak menerusi tab sisi.
- Floating Window – Aplikasi terapung dalam tingkap kecil.
- Gestur – Melakukan tangkapan layar dengan mengetuk skrin atau tatal 3 jari ke bawah serentak.
- System Manager – Hentian setempat untuk melihat kesihatan peranti.
- Ride Mode – Mod menunggang yang menyahaktifkan beberapa ciri bagi mengurangkan gangguan.
- Yoyo Suggestion – Folder menyarankan aplikasi yang mungkin digunakan.
PENANDA ARAS
Setelah lebih dua tahun dilancarkan, adakah Snapdragon 680 masih lagi sesuai digunakan pada peranti penghujung 2023? Untuk melihat kemampuannya ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife Extreme telah dilakukan.
Kami bandingkan Realme 11 5G dengan Tecno Pova5 4G (Helio G99), Realme 10 4G (Helio G99), Samsung Galaxy M14 5G (Exynos 1330), dan Oppo A98 5G (Snapdragon 695). Mungkin ada yang mengatakan ini tidak adil tapi kami perlu menunjukkan kepada ada prestasi cip tahun 2021 dengan cip tahun 2022.
Antutu 3D Benchmark
- Honor X7b – 313,453
- Realme 11 5G – 373,331
- Tecno Pova5 4G – 406,217
- Realme 10 4G – 398,203
- Samsung Galaxy M14 5G – 454,662
- Oppo A98 5G – 411,010
Geekbench6
- Honor X7b – 412/1425
- Realme 11 5G – 720/1884
- Tecno Pova 5 4G – 737/2005
- Realme 10 4G – 572/1743
- Samsung Galaxy M14 5G – 924/2129
- Oppo A98 5G – 885/2034
WildLife Extreme
- Honor X7b – 120
- Realme 11 5G – 327
- Tecno Pova 5 4G – 1,263
- Realme 10 4G – N/A
- Samsung Galaxy M14 5G – 1388
- Oppo A98 5G – 1212
Dalam semua ujian Snapdragon 680 kalah kepada G99, Exynos 1330 dan Snapdragon 695. Kami rasakan di Amanz Helio G99 mungkin ialah cip kelas permulaan yang paling memuaskan kerana masih boleh menjalankan permua seperti COD Mobile dan Asphalt 9. Snapdragon 680 boleh juga menjalankan aplikasi yang sama tetapi pada prestasi lebih rendah. Dalam COD Mobile dapat dirasakan kadar bingkai sedikit rendah dan tersekat apabila dalam situasi pertempuran sengit. Cip ini menampakkan usianya.
Aplikasi media sosial, pelayar web dan perbankan tiada isu untuk dimainkan pada X7b tetapi kami yakin majoriti tidak hanya membeli telefon pintar untuk aplikasi biasa-biasa sahaja. Di pasaran sekarang terdapat banyak peranti dengan Helio G99 seperti Tecno Pova 5 dan Realme 10 4G yang boleh menawarkan prestasi gaming lebih memuaskan dan harga jualannya sama dengan X7b.
TELEFONI dan GPS
Peranti tiada masalah menggunakan rangkaian 4G dan WiFi sehingga 5GHz. Inilah yang kami katakan prestasi paling minima. Panggilan suara jelas dan tiada isu asalkan terdapat paling kekuatan selular yang penuh. GPS adalah sederhana sahaja dengan ia memakan masa beberapa saat sebelum lokasi dapat dikunci dalam aplikasi seperti Google Maps.
KAMERA
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP, ultra sudut lebar 5MP dan pengesan kedalaman 2MP. Di hadapan kamera pula hanya sekadar 8MP. Prestasi kamera adalah tidak begitu baik walaupun dengan sensor 108MP. Tiada OIS membuatkan gambar tidak begitu tajam khususnya pada waktu malam. Penghasilan semula warna juga tidak menyerlah.
Warna tidak nampak hidup. Memandangkan X7b ialah peranti kelas permulaan, kami tidak begitu kritis kerana ini ialah kebiasaan pada peranti pada tanda harga bawah RM900. Zum pula hanya memuaskan sehingga 2X sahaja. Lebih daripada tahap ini imej mula kelihatan lembut dan mempunyai kesan hingar. Akhir sekali gambar diambil menggunakan lensa ultra sudut lebar juga tidak cukup tajam kerana sensor kecil serta tiada OIS.
BATERI
Honor X76 dibekalkan bateri sebesar 6,000mAh dengan sistem pengecasan pantas 35W. Melaluinya, kami mampu mendapatkan ketahanan bateri sehingga 13 jam dalam penggunaan berat dengan SOT mencapai 8 jam. Dalam situasi berbeza, peranti mampu bertahan sehingga 16 jam dalam penggunaan yang sederhana dengan SOT sekitar 11 jam. Di penghujung hari secara lazimnya sebelum tidur, masih terdapat lebih 20% bateri. Pengecasan semula mengambil masa sekitar 110 minit dengan pengecas disertakan dalam kotak.
AUDIO
Terdapat speaker stereo dengan sistem audio Histen. Audio sekadar ala kadar sahaja tetapi sekurang-kurangya stereo sedangkan majoriti peranti kelas permulaan dilengkapi speaker mono. Audio lantang cuma tidak jelas pada tetapan paling tinggi. Jika speaker fizikal tidak memuaskan untuk didengar, terdapat bicu audio 3.5mm di bahagian bawah.
PERANTI PESAING
Honor X7b | Tecno Pova 5 | Realme 10 4G |
6.8″ IPS LCD 90Hz 1080 x 2412 (~389 ppi) | 6.78″ IPS LCD 120Hz 1080 x 2460 (396 ppi) | 6.4″ SAMOLED 90Hz 1080 x 2400 (411 ppi) |
Snapdragon 680 (6nm) 4 X 2.4 GHz Cortex-A73 4 X 1.9 GHz Cortex-A55 | Helio G99 (6 nm) 2 x 2.2 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Helio G99 (6 nm) 2 x 2.2 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Adreno 610 | Mali-G57 MC2 | Mali-G57 MC2 |
8GB RAM | 8GB RAM | 8GB RAM |
256GB ROM | 256GB ROM | 128GB ROM |
Kamera Utama 108MP, f/1.8 (Lebar) 5M, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP, f/2,4 (Kedalaman) | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (Lebar) 0.08MP, f/2,4 (AI) | Kamera Utama 50MP, f/1.8, (Lebar) 2MP, f/2.4, (Kedalaman) |
Kamera Hadapan 8MP, f/2.0 | Kamera Hadapan 8MP f/2.5 | Kamera Hadapan 16MP f/2.5 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio | Bicu audio | Bicu audio |
Audio stereo | Audio stereo | Audio mono |
6000mAh Berwayar 35W | 6000mAh Berwayar 45W | 5000mAh Berwayar 33W |
RM799 (8/256GB) | RM699 (8/256GB) | RM999 (8/128GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Honor X7b
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Pengecas 35W tiga pin
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Honor X7b hadir lewat pada penghujung 2023 tetapi dengan cip tahun 2021. Oleh sebab itu dari hari pertama lagi ia sudah ditewaskan beberapa peranti lain dengan spesifikasi yang lebih menarik. Walaupun harga jualannya hanya RM799 yang mampu milik, terdapat peranti lain dalam lingkungan harga yang hampir sama tetapi menawarkan prestasi lebih baik seperti Realme 10 4G dan Tecno Pova 5.
Kekuatan peranti ini terletak pada rekaan panel belakangnya yang cantik, speaker stereo dan bateri yang cukup tahan lama. Tidak banyak boleh diperkatakan mengenai Honor X7b sekadar ia peranti kelas pertengahan mampu milik yang boleh menjalankan pelbagai aplikasi dengan lancar cuma kurang sesuai untuk permua grafik 3D.
Pro
- Rekaan panel belakang cantik.
- Skrin 90Hz yang lancar.
- Bateri besar tahan lama.
- Speaker stereo.
Kontra
- Kamera sederhana sahaja.
- Cip agak berusia kurang berkuasa.