Di Malaysia, dua aplikasi GPS yang sering digunakan oleh pemandu kenderaan dan juga mereka yang mencari lokasi dengan berjalan ialah Waze dan juga Google Maps. Banyak aplikasi GPS lain juga hadir di pasaran tempatan, tetapi dua aplikasi ini secara lazimnya digunakan oleh majoriti pengguna di Malaysia.
Peranti Apple iPhone merupakan salah sebuah peranti pintar yang sangat popular di Malaysia, tetapi aplikasi Apple Maps sangat jarang digunakan di Malaysia kerana banyak ciri-ciri Apple Maps seperti mod Flyover, Look Around yang menggunakan gambaran 3D masih lagi menggunakan gambaran resolusi rendah.
Baru-baru ini, pengguna Twitter/X @MogiYgJahat mengatakan bahawa kenderaan pemetaan Apple Maps telah melalui kawasan perumahannya dan ini mungkin adalah untuk merakam pemetaan dengan resolusi yang lebih tinggi untuk meningkatkan lagi kualiti dan kejituan pemetaan Apple Maps di Malaysia.
Secara teknikalnya, aplikasi Apple Maps sudahpun boleh digunakan di Malaysia, tetapi seperti yang dikatakan terdapat sejumlah ciri aplikasi tersebut yang belum boleh dimanfaatkan oleh para pengguna iPhone dan iPad di Malaysia, dan ini mungkin adalah cara untuk Apple memperbaiki perkara tersebut.
Setakat ini kita tidak tahu lagi apakah pelan Apple untuk Apple Maps di negara ini, tetapi dengan kenderaan ini mengambil gambaran baru lokasi-lokasi di Kuala Lumpur setakat ini, kita mungkin akan dapat melihat ciri-ciri Apple Maps ditambahkan di Malaysia.