Asus hari ini mengesahkan telefon memfokuskan permua (permainan mudah-alih) yang seterusnya akan diperkenalkan pada awal Januari, iaitu 8 Januari 2024. Melalui video acah yang dikongsikan, ia turut memperlihatkan rekaan skrin hadapan nirbingkai – berbeza sedikit berbanding ROG Phone sebelum-sebelum ini.
Asus dilihat akan memperkenalkan telefon pintar ROG Phone 8 ini, selari dengan acara CES 2024, bersama-sama dengan beberapa produk mereka yang lain.
Asus ROG Phone 8 bukan sahaja akan menyertakan rekaan skrin nirbingkai, tetapi juga dengan kadar kecerahan mencapai 2500-nits. Pada masa yang sama, Asus juga dilihat akan menyertakan sistem kamera baharu pada ROG Phone 8 dengan tri-lensa di bahagian belakang.
Dengan perkembangan baharu ini, sama-sama kita nantikan hari-hari akan datang untuk melihat pelbagai perkara baharu yang akan disertakan melalui Asus ROG Phone 8 ini, sebelum pelancaran rasminya pada awal Januari 2024 kelak.