Carian
Hanya Satu Model Samsung Galaxy S24 Akan Menggunakan Cip Exynos
December 28, 2023 Effi Saharudin

Pelancaran siri Samsung Galaxy S24 akan dilakukan tahun depan. Dengan tarikh semakin hampir semakin banyak juga maklumat mengenai peranti ini mula tertiris ke arena web. Hari ini spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy S24 Ultra, Galaxy S24+ dan Galaxy S24 akhirnya tertiris memberikan perkhabaran baik bagi mereka yang kurang menggemari cip Exynos.

Menurut grafik di atas, hanya Galaxy S24 akan menggunakan cip Exynos 2400 di pasaran global. Hanya Amerika dan Kanada sahaja Galaxy S24 akan dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 3. Samsung Galaxy S24 Ultra dan Galaxy S24+ akan menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy. Tiada maklumat apakah yang membezakan cip ini tetapi besar kemungkinan sekadar kelajuan CPU dan GPU sahaja seperti pada Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy tahun ini.

Turut dapat disahkan ialah pengecasan peranti tahun ini adalah masih sehingga 45W sahaja dan pada model 128GB Galaxy S24, memori yang digunakan ialah UFS 3.1 dan bukan UFS 4.0 seperti pada model-model yang lain.

Adalah agak aneh ini dilakukan kerana pada waktu ini terdapat lambakan bekalan menyebabkan harga RAM dan storan adalah rendah. Menawarkan saiz RAM dan storan yang kecil sedangkan Samsung mengeluarkannya sendiri adalah tindakan yang kurang bijak. Pesaing mereka sudah menawarkan peranti dengan storan 1TB dan memori sehingga 24GB RAM pada model paling mercu.

Komen