Cari @ Amanz

Diantara cabaran yang dihadapi banyak negara ialah mencari cara bagaimana untuk menanam tumbuh-tumbuhan khususnya dengan cuaca dan iklim yang tidak begitu menentu. Kesukaran juga dilihat apabila tanah sendiri kurang subur dan menyukarkan lagi kepelbagaian tanaman untuk kegunaan orang ramai.

Terkini, beberapa penyelidik di Linköping University di Sweden telah berjaya membangunkan “tanah bioelektronik” yang boleh digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran tumbuhan pada kadar 50 peratus.

Para penyelidik ini telah berjaya mencipta “tanah bioelektronik” yang menggabungkan tanah biasa dengan komponen polymer yang dinamakan PEDOT yang secara lazimnya diperlihatkan didalam perkakasan seperti pengimbas dan juga paparan OLED. Sama seperti perkakasan-perkakasan ini, kegunaan PEDOT didalam tanah bioelektrik ini adalah untuk mengalirkan kuasa elektrik didalam tanah.

Diuji dalam lot hidroponik, tanah bioelektronik ini digunakan untuk menanam biji benih barli setelah sedikit tenaga elektrik (0.5V) dialirkan didalamnya. Kajian oleh para penyelidik ini mendapati bahawa biji benih barli ini mula tumbuh 50 peratus lebih cepat berbanding dengan biji benih yang tidak menerima kejutan elektrik tersebut, dimana barli yang menggunakan tanah bioelektronik ini dilihat lebih besar selepas 15 hari.

Ia dilaporkan bahawa dengan aliran tenaga elektrik tersebut, biji-biji benih barli ini didapati meresap nitrogen pada kadar yang lebih cekap. Ini membantu dalam mempercepatkan tumbesaran benih tersebut. Walaupun begitu, para penyelidik ini tidak mengetahui mengapa perkara ini berlaku buat masa ini.

Dengan penyelidikan lebih lanjut, ia dijangka bahawa tanah bioelektronik ini bukan sahaja boleh membantu petani untuk menanam lebih banyak tanaman sepanjang tahun, tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap baja dan juga air, khususnya kerana tanah bioelektrik ini menggunakan teknik hidroponik untuk menanam tumbuhan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd