Cari @ Amanz

Anda mungkin tidak menyukai Elon Musk tetapi hakikatnya di bawah beliau Tesla menjadi jenama yang sinonim dengan kenderaan elektrik (EV). Kejayaan Tesla memberikan suntikan kepada pengeluar kereta lain untuk turut menawarkan EV mereka sendiri kerana telah dibuktikan terdapat permintaan. Pada waktu ini Tesla ialah pengeluar EV terbesar dunia tetapi menurut Bloomberg era ini akan berakhir.

BYD dijangka akan memintas Tesla dari segi jualan EV dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. Angka jualan yang boleh dibanggakan kerana BYD masih belum menawarkan kenderaan mereka ke pasaran Amerika Syarikat yang menguntungkan. Strategi BYD ialah menawarkan EV dengan prestasi yang baik tetapi pada harga yang jauh lebih mampu milik berbanding pesaing.

Pada ketika ini BYD telah mendominasi pasaran EV di China dan kini tiba giliran untuk mereka mendominasi pasaran dunia pula. Strategi memasarkan kenderaan BYD di rantau Asia dan Afrika yang belum dimasuki Tesla dilihat bakal membuahkan hasil. Walaupun dilabel sebagai “mampu milik” hakikatnya EV di Malaysia masih lagi di luar jangkauan marhaen. Sekiranya era EV benar-benar ingin bermula, kenderaan bawah RM30K perlu dipasarkan segera.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd