Carian
RedMagic 9 Pro Dilancarkan Semula Di Malaysia – Kini Bermula RM3499
January 9, 2024 Fahim Zahar

Dikemaskini 9 Januari 2024 – Hari ini ZTE Malaysia bekerjasama dengan DirectD bagi melancarkan semula RedMagic 9 Pro untuk pasaran Malaysia. Pengumuman harga pada 28 Disember lepas disahkan oleh pihak ZTE Malaysia ia bukan set rasmi tetapi set global yang hanya dijual di Shopee Mall tanpa jaminan rasmi oleh mereka.

Unit baharu yang mereka lancarkan ini adalah untuk jualan di kedai fizikal dan kedai Shopee Nubia Redmagic MY. Model yang ditawarkan adalah RedMagic 9 Pro berwarna Sleet 12/256 GB pada harga RM3499 dan RedMagic 9 Pro berwarna Cyclone atau Snowfall 16/512 GB pada harga RM4399. Sempena pelancaran baharu ini, mereka yang membeli RedMagic 9 Pro akan menerima TWS Redmagic bernilai RM269 secara percuma serta jaminan 18 bulan berbanding di kedai fizikal 12 bulan.


Artikel asal 28 Disember – RedMagic 9 Pro adalah peranti gaming baharu yang memasuki pasaran Malaysia. Ia juga adalah peranti gaming pertama dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang boleh memanfaatkan lagi ciri Ray Tracing. Seperti model terdahulu, RedMagic 9 Pro turut memfokuskan kepada rekaan skrin nirbingkai dengan kamera swafoto bawah skrin serta kali ini menggunakan rekaan panel belakang rata sepenuhnya tanpa bonggol kamera tebal.

Terbaru peranti ini akan dilancarkan di Malaysia pada 3 Januari akan datang. Sempena pelancaran, jualan awal pada harga diskaun akan diadakan bermula 1 Januari sehingga 8 Januari. Hanya satu model dibawa masuk ke pasaran tempatan iaitu RedMagic 9 Pro, tiada Pro+ dengan dua varian iaitu 12/256 GB pada harga RM3,699 dan 16/512 GB pada harga RM44,99. Sempena promosi peranti ini boleh dibeli pada harga RM2,949 dan RM3,749.

Peranti ini hadir dengan skrin AMOLED BOE 6.8-inci beresolusi 2480 X 1116 piksel, 120Hz. Cip Snapdragon 8 Gen 3, memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan storan 512GB UFS 4.0. Sistem penyejukan baharu ICE 13 digunakan dengan kipas fizikal berpusing pada kadar 22,000 RPM. Peranti turut dijana cip tambahan iaitu Red Core R2 Pro untuk pengalaman permua lebih baik.

Untuk kamera belakang, sensor 50+50+2 Megapixel digunakan dengan kamera swafoto 16MP di bawah skrin. Kapasiti bateri adalah 5500mAh dengan pengecasan pantas 80W. Speaker adalah stereo dengan teknologi Magic Sound, peranti turut menyokong WiFi 7 dan masih menyertakan port bicu audio 3.5mm. RedMagic 9 Pro turut menjalankan sistem operasi Redmagic OS 9 berasaskan Android 14.

Model 12/256 GB hanya boleh didapatkan dengan warna Sleet, sementara model 16/512 GB boleh memilih warna Cyclone atau Snowfall. Jualan eksklusif dengan diskaun mencapai RM750 setiap satu ini terhad di Shopee sahaja.

Komen