Cari @ Amanz

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon, emel atau mesej berunsur penipuan berkaitan pemulangan bayaran balik yang menggunakan nama MYAirline.

Memetik kenyataan dikeluarkan oleh MYAirline, terdapat laporan mengenai individu yang mendakwa sebagai wakil syarikat menghubungi pelanggan yang menunggu bayaran balik untuk tempahan penerbangan. Penipuan itu didapatibtersebar dengan tujuan menipu pelanggannya supaya memberi maklumat peribadi atau membuat pembayaran dengan alasan palsu.

Justeru MYAirline menasihati pelanggan supaya lebih berhati-hati dengan tidak memberi maklumat peribadi atau kewangan kepada mana-mana sumber yang tidak sah. Paling penting perkara seperti itu harus diabaikan dengan segera serta disaran untuk mengesahkan maklumat dengan sumber yang sah.

Pada masa sama pelanggan juga boleh membuat laporan segera mengenai kes penipuan dengan menghubungi saluran perkhidmatan pelanggan rasmi MYAirline melalui [email protected] atau talian hotline +603 8966 2522.

Oktober tahun lalu, MYAirline terpalit dengan isu penggantungan perkhidmatan sekaligus memberi kesan mendalam terhadap sebahagian besar pelanggan. Hal ini berlaku disebabkan masalah kewangan yang dihadapi syarikat. Tetapi dikhabarkan dalam proses melihat kepada pelbagai perkara dalam mengaktifkan kembali perkhidmatan mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd