Carian
Google Sedang Membangunkan Ciri Menghentikan Aplikasi Gendut Berjalan Di Latar
January 3, 2024 Fahim Zahar

Aplikasi gendut adalah perkara yang sukar untuk dielakkan. Kebanyakan peranti akan mempunyai aplikasi ini sama ada dalam kategori permua, media sosial, produktiviti atau aplikasi pengeluar peranti tersendiri. Beberapa pengeluar sudah cuba mengurangkannya dengan pilihan boleh dinyahpasang atau paling tidak boleh dimatikan terus.

Perkara yang tidak digemari dengan aplikasi gendut ini adalah, yang tidak boleh dibuang atau dimatikan akan memakan storan dalaman peranti, bateri serta memori kerana berjalan di latar. Mishaal Rahman baru-baru ini menemui bukti yang Google sedang membangunkan ciri yang boleh menghentikan aplikasi gendut berjalan di latar sebaik sahaja peranti dihidupkan. Aplikasi hanya akan aktif apabila pengguna kali pertama membukanya sahaja.

Contoh aplikasi gendut dalam Android

Cuma, menurut Rahman ciri ini tidak diwajibkan oleh Google dengan pengeluar peranti bebas sama ada ingin menyertakan ciri ini atau tidak. Jika ciri ini disertakan, pengeluar turut boleh menyertakan aplikasi gendut yang boleh berjalan di latar demi kestabilan sistem dan prestasi peranti. Buat masa ini tidak pasti bila ciri ini akan diedarkan kepada semua orang, tetapi Google sedang mengujinya dalam Android 14.

Komen