Carian
Robot Vakum Baharu Samsung Diumumkan Dengan Penekanan Ciri AI
January 3, 2024 Amy Maizuraa

Pentas utama CES 2024 akan menyaksikan barisan pembersih vakum Samsung dikemaskini dengan versi baharu. Samsung BeSpoke Jet Bot Combo diumumkan dengan penekanan kepada ciri AI yang diintegrasikan secara lebih menyeluruh.

Samsung Bespoke Jet Bot Combo pada dasarnya berfungsi sebagai vakum dan mop dalam satu yang mampu menawarkan pengalaman pembersihan lebih pantas. Sokongan mop disediakan mampu berputar pada kadar 170 RPM untuk pembersihan yang mendalam.

Dalam pada itu dermaga terbina pula diselenggara cukup baik dengan pelbagai proses pembersihan berguna yang termasuk pengeringan automatik menggunakan wap panas. Diikuti juga kebolehan semburan wap panas bersuhu tinggu bagi mengelakkan bau hapak.

Seperkara yang menarik perhatian ialah fungsi AI Object Recognition yang dipertingkatkan dengan kebolehan pengesanan lebih tepat menerusi sensor 3D yang digunakan. Ia juga membolehkan vakum ini mengenali jenis ruang untuk pengalaman membersih lebih efektif.

Di samping itu secara bijak juga mengkategorikan ruangan yang dipetakan secara automatik seperti ruang tamu dan dapur. Diikuti menentukan zon larangan seperti bilik mandi beranda atau pintu masuk utama.

Dengan fungsi AI Floor Detect pula membolehkan robot vakum ini mengesan jenis lantai kemudiannya secara automatik menawarkan kuasa sedutan yang sesuai. Dalam masa sama boleh mengelak permukaan permaidani untuk pengalaman lebih lancar.

Komen