Sebagai seorang penulis pastinya saya membuat banyak kandungan setiap hari. Oleh itu memiliki sebuah komputer riba yang dapat berfungsi dengan baik adalah hal yang penting bagi saya. Baru-baru ini saya diberi peluang untuk mencuba Huawei MateBook D16 2024 sebagai komputer riba utama hampir seminggu penuh dan berikut pengalaman menggunakannya.
Spesifikasi
Nama Model | Huawei MateBook D16 2024 |
Saiz Paparan | 16″ FHD (1920 x 1080) 16:10, 300nits, TÜV Rheinland-certified |
Pemproses | 13th Gen Intel Core i9-13900H/ 13th Gen Inte Core i5-13420H |
Cip Grafik | Intel Iris® Xe Graphics Intel UHD Graphics |
RAM | 16 GB DDR4 (terbina) |
Muatan Dalaman | 512 GB NVMe PCIe SSD 1 TB NVMe PCIe SSD |
Kamera | HD 720P |
Palam I/O | USB-C × 1 USB3.2 Gen1 × 1 USB2.0 × 1 HDMI × 1 Bicu audio 3.5mm |
Sistem Operasi | Windows 11 Home |
Sekuriti | Cap jari (Windows Hello) Wajah (Windows Hello) Pin (Windows Hello) |
Bateri | 70 Wh Li-ion 3 sel Pengecas 65W |
Harga | Akan dikemaskini |
Tubuh Besar Tapi Ringan
Binaan tubuh tidak banyak berubah dengan beberapa model sedia ada. Sebahagian besar kerangkanya menggunakan bahan berasaskan aloi aluminium berkilat kecuali bahagian bezel yang merupakan campuran plastik. Disebabkan itu MateBook D16 2024 adalah ringan sehingga mudah dibawa kemana sahaja untuk sebuah komputer riba 16”.

Selain itu pengalaman penggunaan juga menjadi lebih selesa dengan rekaan agak nipis yang dapat memenuhi trend moden minimalis kerana tidak memakan ruang yang banyak. Lebih-lebih lagi apabila komputer riba disimpan di dalam beg galas yang kecil. Saya juga tidak pernah merungut tentang beratnya sepanjang tempoh menggunakannya. Bahkan kadang kala perlu memeriksa beberapa kali di dalam beg bagi memastikan ia dibawa bersama.
Cuma seperti mana mana lazimnya kemasan yang berkilat, isu kotoran amatlah mudah dilihat khususnya yang melibatkan habuk, peluh dan cap jari. Begitu juga penutup agak lembut dengan ia mudah melentur apabila ditekan. Bagaimanapun kekecewaan itu ditebus apabila engsel digunakan terasa kukuh dengan kebolehan membuka sehingga 178° menggunakan kedua-dua belah tangan. Bukaan ini dirasakan lebih daripada mencukupi untuk mendapatkan sudut pandangan yang baik apabila komputer riba diletakkan pada riba untuk menaip.

Sebanyak tiga pelapik getah digunakan pada bahagian bawah yang bukan sahaja boleh memastikan komputer riba melekap sebaiknya pada permukaan meja. Bahkan mampu mengelakkan kesan calar yang melibatkan scuff marks atau hilang warna asal peranti.
Diikuti juga lohong udara bersaiz besar yang biasanya berfungsi sebagai sistem penyejukan komponen dalaman yang mengawal suhu daripada kepanasan. Ia dilihat berjaya memastikan komputer riba ini berfungsi secara optimum sepanjang tempoh ulasan. Kesannya komputer riba tidak pernah menjadi terlalu panas sehingga tidak selesa diletakkan di atas riba sewaktu menaip.
Kemudian bunyi kipas juga hampir tidak kedengaran pada penggunaan biasa sebaliknya hanya disedari sewaktu melancarkan permainan video. Ini kerana Huawei MateBook D16 2024 dilengkapi teknologi Dual Shark Fin Fan dengan kemampuan pelepasan haba 55% lebih cekap, suhu lebih rendah dan mampu mengurangkan hingar bunyi sehingga 22dB.

Pada bahagian bawah ini juga terletaknya dua kekisi audio untuk pembesar suara dengan saiz yang kecil. Hakikatnya ia mampu menghasilkan bunyi yang kuat dan jelas, tetapi masih tidak mencukupi untuk mencapai tahap yang sepatutnya. Kebolehan bass juga agak lemas untuk beberapa situasi.
Hal itu tidak mengejutkan memandangkan kebiasaannya hanya komputer riba gaming yang mempunyai saiz pembesar suara fizikal lebih besar untuk lontaran audio yang boleh memenuhi piawaian penggemar audio. Sebanyak empat mikrofon dengan pembatalan bunyi AI terbina yang boleh diaktifkan melalui panel kawalan.
Pilihan I/O pula sekadar memadai dengan sebahagian besarnya diletakkan pada sisi kiri yang termasuk port 1 x USB-C (pengecasan, pindah data & DisplayPort), 1 x USB3.2 Gen1 (pengecasan & pemindahan data), 1 x USB 2.0, 1 x HDMI dan bicu audio 3.5mm.
Komen negatif ialah tiada slot pembaca kad SD yang pasti menyusahkan pengguna sekiranya mahu memindahkan foto/video daripada kad memori.
Paparan Skrin
Seterusnya skrin IPS LCD sebesar 16” dengan resolusi HD penuh (1920×1200 piksel) jelas terpampang sebaik sahaja saya membuka penutup. Nisbah aspek 16:10 digunakan berbanding 16:9 sebelum ini yang membolehkan saya melihat lebih banyak kandungan dan bekerja dengan produktif. Ia juga secara umumnya sesuai untuk kerja dan tugasan suntingan minimal tetapi bukan sepenuhnya multimedia. Hal ini memandangkan wujudnya dua palang hitam apabila video dimainkan dalam mod skrin penuh.

Seterusnya tiada sokongan skrin sesentuh atau kadar segar semula tinggi diberikan dengan saiz bezel yang juga tidak sekata pada keempat-empat bucu. Huawei seolah-olah telah membuat beberapa penjimatan tetapi tidak pula menjejaskan penggunaan harian. Tahap kecerahannya bagus dengan kecerahan puncak 300 nits yang bermakna tiada masalah digunakan dalam pelbagai situasi termasuk di luar bangunan. Kandungan dipaparkan nampak jelas dengan penghasilan semula warna cukup bermaya.

Tiada skrin sesentuh tidak memberi kesan memandangkan bukanlah keperluan utama saya dalam kegunaan seharian. Sekiranya anda dalam kelompok pengguna yang masih memerlukan ciri tersebut dirasakan boleh mencuba barisan komputer riba lebih premium Huawei yang lain misalnya seperti MateBook X Pro terkini.

Kamera web yang digunakan hanya menyokong 720P dan diletakkan pada bingkai tanpa suis khas untuk menutup. Anda yang mungkin risau tentang intipan masih perlu memberi pelekat tambahan untuk menutup lensa kamera web tersebut. Kamera juga dilengkapi sistem auto fokus yang mampu mengekalkan wajah pengguna kekal di tengah skrin. Prestasi keseluruhan sekadar sederhana dengan masalah hingar amat ketara sewaktu digunakan untuk sesi panggilan video dalam pencahayaan gelap.
Prestasi Dan Penanda Aras
Pilihan baharu untuk komputer riba tahun ini ialah pemproses Intel Core i9 H-Series generasi ke-13, bersama pemproses Intel Core i5 H-Series generasi ke-13. Diikuti juga cip grafik Intel Iris Xe Graphics, memori 16GB DDR4-3200 dan storan sebesar 512GB NVMe PCIe SSD. Saiz storan boleh dinaiktaraf namun RAM pula kekal memandangkan ia dipateri terus ke papan induk. Dua kipas penyejuk digunakan bagi tujuan pelepasan haba lebih baik.


Dalam ujian Geekbench 6, Intel Core i9-13900H mencatatkan 2,020 markah dalam ujian satu teras dan 8,822 markah dalam ujian multi-teras. Kelajuan storan SSD sekadar sederhana dengan masing-masing mencatatkan sebanyak 4891.35 MB/S ketika membaca dan 3937.31MB/s ketika menulis. Prestasi cip Intel Core-i9 Gen 13 yang digunakan memuaskan dan lebih baik berbanding cip Intel Core-17 Gen 11.


Pengalaman keseluruhan yang pelbagai proses seperti penghasilan kandungan, sesi tele-sidang dan suntingan gambar menggunakan PhotoScape X lebih daripada mencukupi. Perisian WPS Office versi PC terbina pula boleh dimanfaatkan untuk banyak perkara dan paling menarik sudah pastinya fungsi WPS AI yang boleh meringkas teks panjang menjadi lebih pendek serta padat. Secara tidak langsung membantu memudahkan lagi proses membuat kandungan. Namun semakan lanjutan amat disarankan bagi memastikan ayat yang dijana membawa maksud yang sama dengan teks asal.

Seterusnya bunyi desiran kipas yang berlebihan juga tidak berlaku sepanjang tempoh ulasan meskipun banyak aplikasi digunakan secara serentak. Proses boot up tidak memakan masa yang lama dan seperti biasa komputer riba tidak akan dimatikan sebaliknya hanya diletakkan dalam mod tidur selepas dihidupkan. Sama seperti siri MateBook yang lain saya juga tidak menyarankan penggunaannya sebagai mesin bermain permua ekstrem.

Sebagai tambahan pengguna juga boleh bergantung pada sokongan Huawei Metaline Antenna terbina untuk sambungan yang baik, walaupun pada isyarat yang lemah. Bagi pengguna ekosistem Huawei pula proses sambungan antara peranti berbeza seperti tablet atau komputer riba menjadi mudah dengan ciri Huawei Super Device. Diikuti juga dengan proses pemindahan fail diantara aplikasi menjadi lebih mudah dengan Huawei SuperHub.
Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh
Tiada masalah dengan papan kekunci memandangkan komputer riba utama saya juga sebelum ini daripada siri Huawei yang sama. Bermakna saya boleh menaip dengan selesa untuk tempoh masa lama tanpa masalah.

Ia merupakan papan kekunci bersaiz penuh dengan ruang antara kekunci yang mencukupi untuk keselesaan. Setiap kekunci juga memberi tindak balas yang baik menjadikan pengalaman menaip lancar sahaja. Gabungan lampu LED berwarna putih terbina di belakang pula amat berguna untuk kerja di kawasan yang gelap. Ia turut boleh di laras dengan menekan butang F3.

Pad sesentuh juga memuaskan dengan saiz mencukupi dan kebolehan mengesan tekanan secara menyeluruh. Tatalan boleh dilakukan dengan lancar, kemudian sokongan gestur terbina juga membuatkan penggunaan komputer riba menjadi lebih mudah. Turut disediakan ialah pengimbas cap jari terbina yang diletakkan di sudut kanan atas dengan sokongan Windows Hello.
Ketahanan Bateri

Bateri sebesar 70Wh digunakan adalah kapasiti lebih besar berbanding 60Wh pada model tahun lalu. Secara purata peranti mampu bertahan sekitar enam jam pada keterangan skrin 50%, sentiasa bersambung pada WiFi, mod balanced dan lampu papan kekunci yang dimatikan. Hanya menjadi lebih tinggi sekitar 9 jam untuk kegunaan sederhana.

Kesemua pengalaman ini juga sebenarnya bergantung pada jenis kerja dilakukan yang sebahagian besarnya aktiviti saya melibatkan proses menaip artikel, membalas emel, mendengar muzik dan menyunting gambar di Photoscape X. Melengkapi peranti juga sistem pengecasan pantas 65W yang didatangkan dengan blok kuasa putih bersaiz kecil tanpa kebolehan wayar dicabut.
Kesimpulan
Huawei masih berbisa dengan prestasi komputer riba luar biasa. Hal ini memandangkan fungsi disediakan pada generasi baharu ini mampu menggalas kerja harian dengan cukup baik. Gabungan bahagian tertentu seperti skrin besar yang terang amat sesuai untuk kerja produktif khususnya bagi seorang penulis yang bekerja tidak mengenal persekitaran.

Dengan cip Intel Core i9-13900H dan memori 16GB RAM, ia berfungsi cukup lancar tanpa masalah kegagalan program yang berlaku. Paling menarik apabila komputer riba boleh berfungsi secara senyap dan tidak panas sekaligus membantu saya memberi tumpuan penuh untuk menaip artikel. Dalam erti kata mudah Huawei MateBook D16 mempunyai prestasi berkuasa dan skrin besar dalam tubuh yang ringan.
Isu tiada skrin sesentuh mungkin memberi kesan kepada sesetengah pihak yang amat bergantung kepadanya. Namun penyelesaiannya adalah dengan mencuba komputer riba lebih premium Huawei yang lain misalnya seperti MateBook X Pro terkini.
Harga jualannya di Malaysia masih belum diumumkan tetapi di China ia bermula daripada RMB 4199 (~RM2740) untuk model Intel Core i5/16GB RAM/512GB SSD. Sekiranya Huawei Malaysia mampu menawarkan harga MateBook D16 2025 hampir sama dengan pasaran China, ia bakal menjadi antara komputer riba harga mampu milik tahun ini.
PRO
- Rekabentuk besar tetapi ringan.
- Skrin terang boleh digunakan dalam segenap ruang.
- Gabungan pemproses dan memori berkuasa.
- Perisian terbina memudahkan proses kerja.
KONTRA
- Tiada skrin sesentuh.
- Tiada pengatup khusus kamera web.
- Tiada pembaca kad SD.
- Nisbah 16:10 bukan tujuan multimedia sepenuhnya.
